Thursday, February 24, 2011

Soal Jawab Agama Islam

•    Nabi (S.A.W.) Baring Atas Riba Isterinya


Kadang-kadang orang kita silap persepsi dengan menyangka bahawa budaya romantik itu datang dari Barat. Mereka menyangka Islam menganjurkan sikap tegas dalam hubungan lelaki-perempuan, hatta di kalangan suami isteri. Sangkaan begini terbukti silap.


Sebenarnya orang kita masih lagi terbelenggu dengan amalan kebanyakan masyarakat rumpun Melayu yang kadang-kadang malu tak bertempat dan tegas tak kena gaya. Hasilnya mereka tumpul budaya romantis dan kering dalam bercinta. Yang lebih ganjil lagi, ketika di luar ikatan perkahwinan, mereka bukan main romantik, tetapi bila sudah bernikah, mereka bersikap dingin dan hanya tahu romantik ketika di atas katil.


Sikap ini berbeza dengan sifat romantis Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam yang sentiasa bergaul dengan isteri dengan penuh mesra dan ceria. Kedudukan Baginda yang begitu tinggi di sisi Allah dan masyarakat tidak menghalang Baginda untuk bersama dengan isteri dengan penuh rasa cinta dan kasih.


Hal ini dapat dilihat daripada hadis riwayat Aisyah yang berkata :
"Sesungguhnya Rasulullah SAW sering meletakkan kepalanya di ribaku, sedangkan ketika itu aku sedang berhaid, dan Baginda pula membaca Al-Quran" (Sunan Ibni Majah : 626)


Tidak dinafikan, perasaan cinta antara suami isteri itu kadangkala menebal, dan kadangkala menipis, lebih-lebih lagi dikala isteri dalam keadaan tidak suci ekoran haid dan nifas. Oleh itu, bagi hendak menghangatkan perasaan cinta antara suami isteri, perlu mempunyai daya kreatif masing-masing dalam melahirkan perasaan cinta bergelora.


Dengan hadis ini, Nabi SAW seakan-akan mengajar kepada kita tentang antara tindakan yang perlu dilakukan bagi menghangatkan balik perasaan cinta itu.


Justeru itu, sebagai suami, tidak seharusnya merasa malu untuk meletakkan kepala mereka di riba isterinya. Begitu juga, pihak isteri pula tidak selayaknya merasa janggal dengan tindakan suaminya itu sehingga menganggap tindakan sebegitu seperti tindakan anak dengan ibunya yang mahu bermanja.


Sesungguhnya bermanja antara suami isteri merupakan ibadat disisi Allah, yang melahirkan banyak kelebihan dari sudut keuntungan dunia, mahupun keuntungan di akhirat.


Keuntungan di akhirat adalah dengan balasan pahala, dan keuntungan di dunia adalah dengan kemesraan dan kebahagiaan yang wujud dalam kehidupan berumah tangga.


Dari hadis ini juga, kita akan dapat melihat betapa Islam adalah agama yang cukup memuliakan kaum perempuan berbanding apa yang telah dilakukan oleh orang-orang jahiliyyah terdahulu.


Orang-orang jahiliyyah terdahulu, memandang perempuan yang berhaid sebagai jijik sehingga mereka meletakkan undang-undang adat mereka yang meletakkan perempuan seperti barang buangan dan barang terpakai.


Apabila datang Nabi SAW, baginda menyeru manusia kepada Islam yang memandang mulia kepada kaum perempuan, walaupun mereka secara fitrah mempunyai masalah bulanan, iaitu Haid dan Nifas.


Kemuliaan ini dibuktikan dengan tindakan Nabi SAW yang bermesra dengan isterinya yang sedang berhaid, dengan meletakkan kepala baginda di riba isterinya yang sudah pasti haid itu berada dikemaluan yang berhampiran dengan riba tersebut. Ini ditambahi lagi dengan tindakan nabi SAW membaca Al-Quran di kala kepala baginda SAW berada di riba Isterinya.


Ekoran dari itulah, Imam An-Nawawi (Aun Al-Ma'bud : 1/305.) menyatakan bahawa hadis ini menjadi dalil kukuh bahawa tidak dilarang membaca Al-Quran dalam keadaan berbaring dan bersandar pada orang perempuan yang sedang berhaid, malahan ianya juga menjadi dalil bahawa tidak menjadi kesalahan membaca Al-Quran berhampiran dengan najis.


Sumber : Portal I Love Islam


•    Bersugi Atau Memberus Gigi Menurut Islam

 Bersugi juga di sebut dengan perkataan bersiwak yang berasal dari perkataan Arab yang membawa maksud pencedok dan alatnya. Manakala dari segi syarak pula bermaksud kayu yang digunakan seperti ranting atau sebagainya di dalam mulut dengan tujuan untuk membersihkan gigi.


Boleh menggunakan apa sahaja untuk bersugi dengan syarat alat tersebut hendaklah suci daripada najis dan bersifat kesat. Bersabda Rasulullah SAW mafhumnya :
"Bersiwak adalah membersihkan mulut dan mendapat keredaan daripada Allah".(Riwayat Abu Daud)
Hukum Bersugi
1.    Sunat iaitu pada bila-bila masa tetapi masa yang paling dituntut ialah setelah bangun dari tidur, ketika hendak mendirikan solat, ketika hendak membaca Al-Quran dan ketika berubah bau mulut.
2.    Makruh bagi orang yang berpuasa tak kira sama ada puasa fardu (Ramadan) atau puasa sunat selepas gelincir matahari, iaitu selepas masuk waktu zuhur.


Waktu Bersugi


Bermula bersugi itu disunatkan pada sekelian waktu. Tetapi yang lebih afdhalnya ialah di dalam lima waktu, diantaranya ialah :
3.    Waktu hendak mengambil air wuduk.
4.    Waktu hendak menuniakan solat.
5.    Waktu bangun dari tidur.
6.    Berubah bau mulut.
7.    Hendak membaca Al-Quran.


•    Penyakit Was-Was (Ragu-Ragu) Dalam Ibadah


Penyakit was-was adalah antara penyakit yang paling serius dan ada kalanya akan mencapai tahap yang kronik. Pada tahap ini penghidapnya akan kelihatan seperti tidak dapat dipulihkan lagi memandangkan keadaan diri mereka yang teruk. Was-was adalah serangan penyakit hati yang melanda manusia melalui saluran gangguan makhluk yang disebut Allah sebagai al-Khannas. Firman Allah SWT :
“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Aku berlindung kepada (Allah) Pemulihara sekalian manusia, yang menguasai sekalian manusia, Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia, dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam, yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke Dalam hati manusia, (Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia". (An-Nas : 1-6)


Agama Islam adalah agama yang tidak memberikan kepayahan atau kesulitan kepada umatnya untuk melaksanakan segala ibadah kepada Allah. Berlakunya was-was adalah disebabkan kurangnya pengetahuan agama dalam setiap ibadah yang dilakukan seperti, cara berniat ketika melakukan ibadah, cara melakukan ibadah yang benar dan banyak lagi sehinggakan penyakit was-was makin menjadi-jadi. Was-was juga boleh berlaku kepada sesiapa yang mempunyai ingatan yang lemah atau pelupa dalam setiap perbuatan yang dilakukan didalam ibadahnya.


Kaedah untuk menghilangkan penyakit was-was ini ialah dengan cara seseorang itu perlu mempunyai pengetahuan agama Islam yang tinggi dan mengetahui cara melaksanakan ibadah yang betul. Sedikit sebanyak kaedah ini dapat membantu mengurangkan sifat was-was yang ada dalam diri seseorang. Contohnya seperti mandi hadas, cukup dengan keyakinan kali pertama mengalirkan air ke anggota badan ketika mandi hadas, hal ini sudah memadai dan mandi hadas tersebut sah dan tidak terbatal.


Ketika melakukan ibadah, perlu difokuskan perbuatan yang dilaksanakan dalam ibadah tersebut supaya tidak lupa. Jika terlupa, ulangi kembali rakaat solat yang terlupa sama ada rakaat tersebut sudah dilakukan ataupun tidak. Perbuatan ini bertujuan untuk mengelakkan dari berlakunya sifat was-was dan jiwa yang tidak tenteram apabila selesainya ibadah.


•    Ya Maulidur Rasul, Tidak Hari Valentine


KUALA LUMPUR, 14 Feb: Pemuda Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menyeru masyarakat menghayati kefahaman sebenar Maulidur Rasul menolak sambutan Hari Valentine.


Justeru, pengerusinya , Mohd Fadzil Saleh menyeru pihak kerajaan dan institusi berkenaan memberi kesedaran kepada para pelajar sekolah mengenai budaya songsang hari Valentine dan membuat penguatkuasaan agar ianya tidak menjadi satu budaya yang diraikan sejak peringkat sekolah.


Katanya, virus sosial yang dibawa Hari Valentine di semua IPT perlu diperangi habis-habisan di samping menggembleng tenaga, membuat penguatkuasaan dan mengambil tindakan untuk melumpuhkan sebarang aktiviti dan usaha-usaha untuk memeriahkan atau menyambut Hari Valentine itu.


Sebaliknya, kata beliau masyarakat Islam menghayati semangat dan kefahaman sebenar perayaan bersempena Maulidur Rasul sebagai tanda kecintaan kepada Rasulullah saw.


Tambahnya, belia dan remaja mengalihkan sudut pandang mereka kepada mencontohi Rasulullah s.a.w. sebagai qudwah hasanah (contoh teladan terbaik) dalam konteks menzahirkan kasih sayang selain melibat diri dengan aktiviti-aktiviti yang boleh membina akhlak dan intelektual mereka.


Dalam pada itu, beliau juga menyeru belia dan remaja agar mengetahui latar belakang dan matlamat Hari Valentine, agar tidak terikut-ikut budaya liar yang langsung tiada kaitan dengan Islam; malah tersasar darinya.


Di samping itu, ujarnya mereka hendaklah mengelakkan terbabit dalam sebarang bentuk aktiviti meraikan hari tersebut seperti ‘dating’ yang akhirnya membawa kepada keruntuhan akhlak seperti penzinaan, arak dan pembuangan bayi.


Bagi keluarga dan ibu bapa pula, katanya mereka perlu mendapatkan maklumat yang betul mengenai Hari Valentine dan menyampaikannya kepada anak-anak, menghidupkan budaya kasih sayang dalam kehidupan berkeluarga.


“Memastikan anak-anak tidak terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang merosakkan ini dan mewujudkan aktiviti-aktiviti alternatif agar anak-anak dapat dijauhkan dan tidak terlibat dengan sambutan Hari Valentine,” ujarnya kepada Harakahdaily.


Beliau juga menyeru media massa menyampaikan maklumat sebenar mengenai Hari Valentine agar masyarakat menjauhi sebarang aktiviti-aktiviti berkaitan dengan sambutannya di samping menghentikan sebarang bentuk promosi yang menjurus kepada mempopularkan sambutan Hari Valentine.


Katanya, saban tahun, 14 Februari merupakan hari yang ditunggu-tunggu oleh pasangan kekasih, malahan seminggu sebelum tarikh tersebut, ianya hangat diwar-warkan di media massa mahupun di laman sosial.


“Saban tahun juga, kita menyaksikan ramai belia dan remaja ternoda,” katanya.


Laporan Polis Diraja Malaysia yang dikongsikan di dada akhbar bertarikh 10 Februari 2011 (Sinar Harian, hlm N15) menunjukkan sebanyak 517 kes pembuangan bayi yang dilaporkan dari 2005 sehingga Januari lalu.


Manakala dalam tempoh Januari sahaja, sebanyak 19 kes pembuangan bayi telah dilaporkan yang amat membimbangkan.


Pergaulan bebas tanpa kawalan antara puncanya.


Pengurusan institusi Raudatus Sakinah mendapati bahawa punca fenomena tersebut adalah hasil daripada kemaksiatan dan penzinaan yang berlaku bersempena dengan sambutan Hari Valentine dan juga sambutan Hari Kemerdekaan.


Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-71 pada 24hb November 2005 telah memutuskan bahawa amalan merayakan ‘Valentine’s Day’ bukan amalan Islam. Malah, ia menegaskan bahawa, roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur agama Kristian dan amalannya bercampurbaur dengan perbuatan maksiat yang bercanggah dan terlarang dalam Islam.


Namun, sehingga kini, kata Mohd Fadzil ia masih lagi menjadi budaya dalam masyarakat dan diamalkan oleh penganut-penganut beragama Islam – khususnya dalam kalangan belia dan remaja. Tahun lepas, misalnya, ada pihak telah mencetuskan kempen ‘No Panties’ pada Hari Valentine.


“Ini jelas menggambarkan betapa kroniknya budaya songsang telah menular dalam masyarakat kita,” katanya lagi.


Sumber : Harakah Daily


•    Taharah Rohani


Sangat sukar bagi setiap manusia untuk membersihkan kekotoran hati ini, kerana ia tidak boleh dicuci dengan sabun, peluntur atau pun berus, kerana kotoran rohani ini letaknya di dalam hati manusia. Di antara kotoran rohani ialah seperti sentiasa melakukan dosa, suka kepada maksiat, hasad dengki, tamak, dendam, bangga diri dan sebagainya. Kekotoran seperti ini boleh menyebabkan manusia diseksa oleh Allah sepertimana firmanNya :
“Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, Dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran).” (Al-Baqarah : 10)


Kekotoran rohani ini kebanyakkannya berpunca daripada faktor pemakanan dan pendidikan seseorang. Jika seseorang itu dibekalkan dengan makanan dari hasil yang haram seperti wang judi, rasuah, wang curi dan sebagainya. Maka dirinya atau darah dagingnya akan dibentuk dengan perkara yang haram dan menyebabkannya berat untuk melakukan ibadah, perbuatan yang baik dan sebagainya. Hatinya juga menjadi keras dan susah untuk dibentuk menjadi seorang muslim yang sejati.


Begitu juga dengan pendidikan, setiap anak yang baru dilahirkan merupakan fitrah dan bersih yang akan membentuknya adalah ibu bapanya. Kalau ibu bapanya mendidiknya seperti mana dituntut oleh agama Islam, nescaya anak tersebut akan menjadi manusia yang soleh dan taqwa. Jika tidak diberikan penghayatan Islam yang sempurna sepertimana disuruh oleh agama Islam, maka anak tersebut akan menjadi seperti yahudi dan nasrani. Sabda Rasulullah SAW mafhumnya :
“Setiap anak dilahirkan dalam fitrahnya. Keduanya orang tuanya yang menjadikannya sebagai Yahudi, Nashrani atau Majusi.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)


Zaman sekarang ini, ramai ibu bapa tidak lagi menghiraukan penghayatan agama anak-anak mereka, yang mereka risaukan adalah UPSR, PMR, SPM dan ijazah anak mereka, bagi mereka semua itu akan menentukan masa depan anak-anak mereka. Rasa bangga dengan keputusan 9A atau BA (Hons) yang diperolehi oleh anak mereka. Mereka membayangkan anak-anak mereka memperolehi pekerjaan yang besar dan gaji yang lumayan. Tetapi dalam masa yang sama, mereka gagal memberikan didikkan Islam kepada anak mereka yang jelas ia merupakan fardhu ain. Kegagalan inilah yang menyebabkan anak-anak tidak tahu dosa dan pahala, halal dan haram. Diantara perbuatan tersebut ialah seperti pecah amanah, buang anak, mencuri, gila, sakit jiwa, tekanan perasaan disebabkan hutang atau sebagainya. Semua kotoran rohani ini boleh ditaharahkan dengan cara :
Solat


Datang seorang lelaki menemui Rasulullah dan berkata : “Ya Rasulullah tunjukkan pada aku perbuatan yang perlu aku lakukan untuk membolehkan aku masuk ke syurga”. Rasulullah bersabda :
“ Beribadahlah kepada Allah dengan tidak menyekutukannya sedikit pun, kerjakanlah solat, tunaikanlah zakat dan berpuasa di bulan Ramadhan”. (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)


Solat adalah satu nama yang menunjukkan adanya ikatan yang kuat antara manusia dengan Allah. Orang yang mengerjakan solat seolahnya sedang berada dihadapan Allah dengan penuh ketakutan dan kekhusyukkan dengan memohon banyak perkara daripada Allah. Hal ini boleh membersihkan hati seseorang, dapat melahirkan ketenangan jiwa dan keamanan dalam kehidupan seseorang yang mengerjakannya. Solat yang khusyuk dapat menghindarkan diri daripada melakukan segala perbuatan maksiat dan Allah sentiasa melindungi orang yang mengerjakan solat dengan hati yang ikhlas dan khusyuk kepada Allah, sepertimana firman Allah SWT :
“Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar”.(Al-Ankabut : 45)
Zakat dan Sedekah


Allah telah mewajibkan zakat ke atas orang Islam yang mempunyai harta yang banyak dan cukup haulnya selama setahun Hijrah dengan syarat-syarat tertentu. Sedekah pula adalah menginfakkan sebahagian harta kepada orang fakir miskin dan orang yang memerlukan bantu tanpa ditetapkan syarat-syarat tertentu.


Zakat dan sedekah adalah merupakan latihan kepada orang Islam untuk membuat baik antara satu sama lain dan ia dapat mengeratkan hubungan silatulrahim antara sesama Islam. Zakat dan sedekah juga dapat membersihkan harta seseorang itu dari memakan harta orang lain. Harta yang dimiliki bukan kesemuanya adalah miliknya dan sebahagian harta tersebut perlu dizakat dan disedekahkan kepada orang yang memerlukan. Harta dunia hanya sementara dan tidak kekal selama-lamanya. Firman Allah SWT :
“Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya Engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana Sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.” (Al-Taubah : 103)


Orang yang mengeluarkan zakat dan bersedekah dapat mendidik jiwanya supaya tidak baqil atau kedekut dengan orang lain, semoga ia mempunyai sifat bantu membantu dan kasih mengasihani antara satu sama lain.
Puasa


Puasa adalah salah satu latihan dan didikan jiwa yang dapat membendung segala nafsu amarah manusia. Ibadah puasa berupaya menyembuhkan manusia dari berbagai penyakit jasmani dan rohani. Firman Allah SAW :
“Wahai orang-orang yang beriman! kamu Diwajibkan berpuasa sebagaimana Diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”(Al-Baqarah : 183)


Dalam Tafsir Jalalain disebutkan bahawa yang dimaksudkan dengan ayat di atas ini adalah untuk menjauhkan diri dari perbuatan maksiat. Sesungguhnya puasa dapat menghindari diri dari melakukan maksiat dan juga dapat meredakan syahwat dalam diri seseorang Islam.
Haji


Mengerjakan haji adalah rukun Islam yang kelima. Ia dilakukan bagi sesiapa yang mempunyai kemampuan untuk mengerjakannya. Orang yang mengerjakan haji akan mempunyai perasaan yang gemuruh, rasa aman, tenang dan bahagia. Haji yang ikhlas dapat melatih diri bertanggungjawab dan mempunyai jiwa yang kental. Haji merupakan satu latihan yang sangat susah untuk dilalui dan ia memerlukan pengorbanan yang sangat besar. Dalam ibadah haji, melatih seseorang itu sering mengingati Allah, selalu berdoa kepada Allah, mengerjakan solat, mengorbankan binatang kerana Allah. Melatih seseorang itu merendahkan diri dengan meninggalkan pakaian yang indah dan cantik, mencukur rambut yang hebat dan cantik. Haji juga dapat menguatkan semangat kerjasama dan silaturahim antara satu sama lain.


Orang yang mengerjakan haji dengan ikhlas hatinya dapat menghapuskan segala dosa yang dilakukannya selama ia hidup dengan memperolehi gelaran haji yang mabrur. Seolahnya ia seperti kanak-kanak yang baru dilahirkan dan berada dalam keadaan bersih. Sabda Rasulullah :
“Dari satu umrah ke umrah lainnya adalah penghapus dosa yang ada di antara keduanya dan Haji Mabrur tiada balasan untuknya kecuali syurga”. (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Sabar


Sifat sabar adalah salah satu penyebab datangnya keuntungan kepada orang yang mempunyai sifat sabar sepertimana firman Allah yang berbunyi :
“Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).” (Ali Imran : 200)


Sabar mempunyai faedah yang besar dalam mendidik jiwa manusia dan menguatkan peribadi manusia hingga menambah kekuatannya untuk mengharungi bebanan kehidupan. Sabar juga dapat memperbaharui semangat untuk mengharungi segala dugaan yang dilaluinya. Sabar adalah salah satu sifat yang perlu dimiliki oleh setiap orang muslim, kerana orang yang sabar mempunyai jati diri yang kuat dalam mengharungi segala rintangannya dan segala rintangan tersebut tidak dapat melemahkan keinginannya.
Istiqfar Dan Bertaubat


Sudah menjadi fitrah manusia tidak akan terlepas dari segala kesilapan dan dosa. Rasulullah saw bersabda :
“Setiap anak Adam mempunyai banyak kesalahan, dan sebaik-baiknya orang yang bersalah adalah yang bertaubat”. (Riwayat Ahmad)


Taubat diwajibkan kepada sesiapa yang melakukan dosa. Setiap muslim pasti pernah melakukan dosa dan lalai dalam menunaikan ibadah kepada Allah. Pintu taubat sentiasa dibukakan kepada sesiapa yang ingin bertaubat dengan kesalahan yang telah dilakukannya. Allah sentiasa menerima taubat dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. Firman Allah yang berbunyi :
“ Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; Sesungguhnya Dia lah jua yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Az-Zumar : 53)
Zikir


Sesungguhnya orang yang sentiasa berzikir atau mengingati Allah pada setiap waktu, memohon ampun kepadaNya dan berdoa kepadaNya. Ini semua akan menyebabkan manusia itu dekat dengan Allah sehingga akan merasakan hubungannya dengan Allah semakin kuat dan erat. Pada saat ini, tidak perlu bimbang lagi dengan apa yang telah ditentukan oleh Allah dan bersyukurlah dengan apa yang telah diberikan oleh Allah kepadanya. Firman Allah SWT :
"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.” (Ar-Ra’ad : 28)


•    Air Liur Basi Najis Ataupun Tidak


Air liur basi adalah sejenis air yang keluar dari mulut manusia ketika sedang tidur, air liur basi adalah air yang keluar daripada perut manusia, kadang-kadang air tersebut berwarna kuning cair dan ada yang berwarna putih jernih. Air liur basi lazimnya berbau dan berpeta apabila ia sudah kering.


Imam Syafie berpendapat bahawa air liur basi adalah air yang keluar secara langsung dari perut manusia dan air tersebut adalah najis. Bagi sesiapa yang keluar air liur basi hendaklah ia membasuhnya sehingga bersih seperti membersih najis mutawassitah.


Bersalahan dengan air liur biasa, kerana air liur biasa bukan datang dari perut manusia dan lazimnya air liur biasa ini berwarna putih. Tidak perlu membasuh air liur tersebut jika ia terkena kepada pakaian. Tidak terbatal wuduk atau solat orang yang mempunyai air liur biasa.


•    Pembatalan Notifikasi Produk Kosmetik Atas Isu Campurpalsu



Para pengguna dinasihatkan untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan produk kosmetik seperti tersenarai di bawah. Produk-produk tersebut telah didapati mengandungi bahan terlarang, termasuk racun berjadual yang tidak dibenarkan dalam produk kosmetik. Penggunaan produk kosmetik yang dicampurpalsu dengan bahan kimia seperti yang telah dikesan boleh menyebabkan kesan advers serius.


Produk seperti tersenarai di bawah tidak lagi dibenarkan diimport/ dikilang/ diedar/ dijual di negara ini dan Pihak Berkuasa telah mengarahkan supaya semua stok produk berkenaan di keluarkan dari pasaran.
Tahun 2010
1.    NV Toner Treatment No 1 NOT05010130KE Hydroquinone & Tretinoin
2.    NV Toner Treatment No 2 NOT05010129KE Hydroquinone & Tretinoin
3.    Zara Rejuvenation Cream NOT04081873KE Hydroquinone
4.    Beauty Line Beautitude Multi-Purpose Cream NOT081201209K Tretinoin
5.    Pigmentation Recovery Complex NOT081200745K Tretinoin
6.    De Putih Night Cream NOT05100878KE Tretinoin


Tahun 2009
7.    Felisa Gentle Peeling Solution NOT07080210KE Tretinoin
8.    Krim Malam Rahsia Rimba NOT080801112K Hydroquinone
9.    Biocosmet Whitening Essence Cream NOT07122920KE Hydroquinone
10.    ~H2O+ Waterwhite Brightening Night Cream NOT04102838KE Hydroquinone
11.    Magixpress Lightening Plus NOT07121009KE Hydroquinone
12.    A.Vant Cream NOT05022860KE Tretinoin
13.    Eriesya Spa Beauty Cream NOT07122412KE Hydroquinone
14.    Natasya Krim Herba NOT07090337KE Hydroquinone & Tretinoin
15.    Temulawak Whitening Pearl Cream Papaya NOT03090150KE Tretinoin
16.    Ratna Sari Whitening Night Cream NOT080700826K Tretinoin
17.    ATIKA BEAUTY Renewal Night Cream NOT04082451KE Hydroquinone
18.    Chantique - Whitening Night Cream NOT04121404KE Tretinoin


Tahun 2008
19.    Khazanah White Pembersih Wajah NOT05040954KE Hydroquinone
20.    Gloskin Krim Malam & Siang NOT05082557KE Hydroquinone
21.    Reena's Astringen Lanjutan NOT05010659KE Hydroquinone
22.    Skin Desires Deep Whitenin Cleansing Milk NOT07020213KE Hydroquinone
23.    EETYE Whitening Cream NOT06080859KE Hydroquinone
24.    O'Lynn Skin Lightening Cream NOT06110164KE Tretinoin
Sumber : Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan


•    Hukum Air Nanah Suci Atau Najis


Iman Syafie dan para imam lainya bersepakat mengatakan bahawa air nanah adalah najis mutawassitah. Jika air nanah atau luka nanah itu sedikit tidak bercampur dengan benda lain yang cair dimaafkan, kerana secara umumnya manusia sangat sulit membersih air nanah yang keluar sedikit dari badan manusia. Kadar sedikit yang dimaksudkan ialah najis itu tidak dipandang jelek oleh seseorang dan tidak dapat membatalkan wuduk. Nanah yang dimaafkan adalah berasal daripada manusia keluar kurang dari besar duit 10 sen. Jika ia besar dari duit 10 sen dia dikira sebagai najis.


Kata Imam Syafie lagi darah jerawat kecil, darah nyamuk, tahi lalat, air luka bakar dan cacar yang berbau maupun yang tidak berbau, bekas bekam sedikit ataupun banyak dan darah orang lain yang sedikit adalah dimaafkan. Kesemuanya ini tidak membatalkan wuduk dan juga solat.


Cara membersihkan air nanah adalah dengan cara menghilangkan air nanah terlebih dahulu, kemudian dibasuh air nanah tersebut sehingga suci, jika setelah dibasuh masih keluar lagi air nanah, maka dikehendaki seseorang itu balut nanah tersebut supaya ia tidak merebak dan keluar dengan lebih banyak lagi.


•    Hukum Bersetubuh atau Jimak Isteri Haid


Mengadakan hubungan seks atau berjimak dengan isteri ketika didatangi haid adalah haram dan termasuk di antara dosa-dosa besar. Hukum ini bagi suami yang melakukannya secara sengaja, mengikut kehendak hatinya, nafsunya, perasaanya dan tahu hukum haramnya. Sekiranya dia menghalalkan perbuatan menyetubuhi isterinya sedang haid, maka dia jatuh kepada kufur. Firman Allah yang berbunyi :
“Dan mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. katakanlah: "Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat". oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh Dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.” (Al-Baqarah : 222)


Bagi suami yang melakukan persetubuhan dengan isterinya ketika haid perlu bertaubat, beristiqfar dan membayar kaffarah dengan menyedekahkan satu dinar atau setengah dinar.


Menurut Imam Al Ghazali mengatakan bahawa : “Melakukan hubungan seks sebelum isteri melaksanakan mandi hadas (selepas haid terhenti) boleh mewariskan penyakit kusta ke atas anak yang lahir hasil hubungan seks tersebut.”


•    Hukum Kencing Sambil Berdiri


Tidak dibolehkan kencing berdiri, kerana ia bercanggah dengan sopan dan etika yang mulia, di samping mengelakkan diri daripada percikannya. Namun jika diyakini air kencing itu tidak memercik dan dapat dipastikan tidak akan terkena dirinya, maka tidak menjadi halangan baginya untuk kencing berdiri. Diriwayatkan dari Huzaifah ra yang menceritakan :
“Suatu ketika Nabi SAW singgah di suatu tempat pembuangan sampah berhampiran dengan daerah suatu kaum. Di situ, beliau membuang air kecil sambil berdiri. Melihat itu, aku segera pergi menjauh, tetapi beliau malah berkata : Mendekatlah ke mari Aku pun segera menghampirinya hingga berdiri berhampiran dengan tumitnya. Kemudian aku melihatnya berwuduk dan menyapu kedua-dua khufnya.” (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)


Petikan hadis di atas ini adalah untuk menunjukkan bahawa harus kencing sambil berdiri. Tetapi ia bukan untuk menunjukkan kebiasaan Rasulullah SAW kencing sambil berdiri. Kebiasaan Rasulullah ialah kencing secara duduk.


Imam An-Nawawi mengatakan kencing dalam keadaan duduk adalah lebih baik mengikutnya pandanganku, namun jika seseorang kencing dalam keadaan berdiri, maka itu juga tetap di bolehkan. Kedua-dua keadaan ini pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW.


Ada sebahagian ulamak mengatakan bahawa hukum kencing berdiri adalah makruh kecuali jika ada sebarang keuzuran. Menurut mereka perbuatan Nabi kencing berdiri adalah kerana ada keuzuran bagi baginda, kemungkinan susah bagi baginda untuk duduk pada ketika itu memandangkan tempat itu ialah tempat pembuangan sampah atau mungkin juga baginda mengalami sakit tulang belakang. Menurut Imam Syafie orang Arab jika mereka mengalami sakit belakang, mereka akan kencing berdiri.


Di kalangan para sahabat sendiri terdapat khilaf tentang kencing berdiri. Terdapat riwayat menceritakan bahawa Saidina Umar, Ali, Zaid bin Tsabit, Ibnu Umar, Abu Hurairah dan Anas ra pernah kencing sambil berdiri. Antara sahabat yang memakruhkannya pula ialah Ibnu Mas’ud dan diikuti oleh Imam as-Sya’bi dan Ibrahim bin Sa’ad.


Rumusan dari perbahasan kencing berdiri di atas, maka hukumnya adalah harus jika orang tersebut mengalami kesukaran untuk kencing duduk. Manakala hukum makruh pula jika orang tersebut melakukan kencing berdiri dengan sengaja dan ia tidak mengalami apa-apa kesukaran dan musibah. Namun yang terbaik ialah kencing sambil duduk. Ini ditegaskan oleh Imam Ibnu al-Munzir :
“Kencing sambil duduk lebih aku sukai. Namun kencing berdiri hukumnya adalah harus. Kedua-duanya ada dalil dari Nabi SAW”.


•    Kebersihan Separuh Dari Iman


Membersihkan Badan Dan Pakaian


Najis yang terkena pada pakaian dan badan, maka hendaklah dibasuh dengan air hingga hilang sekiranya benda najis tersebut dapat dilihat, seperti darah. Tetapi apabila setelah dibasuh itu masih ada bekasnya dan sukar dihilangkan, maka ia dimaafkan. Jika najis itu tidak dapat dilihat seperti air kencing, maka cukup membasuhnya meskipun hanya satu kali basuhan. Dari Asma Binti Abu Bakar ra berkata :
“Salah seorang perempuan datang berjumpai Nabi SAW dan bertanya : Salah seorang kami berhaid, lalu darahnya terkena pada pakaian. Apakah yang semestinya dilakukan? Beliau menjawab : Hendaklah darah tersebut dikikis, kemudian digosok dan dibasuh dengan air. Setelah itu, pakaian itu boleh dibawa dalam solat.”(Kesahihan hadis ini disepakati oleh ulamak hadis)


Jika najis itu terkena pada bahagian hujung bawah pakaian seorang perempuan, maka ia menjadi suci dengan menyentuh tanah. Dalilnya hadis berikut :
“Seorang perempuan bertanya kepada Ummu Salamah ra : Aku menghulurkan hujung pakaianku hingga terjela dan menyentuh tanah. Pada ketika itu, aku berjalan di tempat yang kotor. Bagaimanakah cara menyucikannya? Ummu Salamah menjawabnya dengan sabda Rasulullah SAW : Hujung pakaian itu menjadi suci apabila menyentuh tanah.” (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)
Membersihkan Tanah


Cara membersihkan tanah yang terkena najis adalah dengan mengalirkan air ke atasnya. Dalilnya hadis Abu Hurairah ra berkata :
“Seorang arab badawi berdiri lalu kencing di dalam masjid. Ramai sahabat yang berdiri untuk menangkapnya sekali gus membalasahnya. Melihat itu, Nabi SAW bersabda : Biarkan dia, kamu hanya perlu menyiram kencingnya itu dengan sebaldi atau segayung air. Ingatlah bahawa kamu diutus untuk memberi keringanan, bukannya untuk mendatangkan kesukaran kepada orang lain.” (Riwayat oleh sekumpulan ulamak hadis kecuali Muslim)


Tanah yang terkena najis menjadi suci apabila ia kering dan demikian pula benda-benda yang berada di sekelilingnya. Seperti pokok dan bangunan. Abu Qilabah berkata : “Keringnya tanah bererti menandakan kesuciannya”. Aisyah ra berkata : Sucinya tanah ialah dengan cara mengeringkannya. Ini apabila najis itu cair. Tetapi jika najis itu beku, maka tanah tidak menjadi suci melainkan benda najis tersebut dihilangkan atau dibuang.
Membersihkan Mentega Dan Seumpamanya


Dalam masalah ini, terdapat hadis yang berkaitan dengan cara mencucikan mentega. Dari Ibnu Abbas ra dari Maimunah ra berkata bahawa :
“Nabi SAW pernah ditanya mengenai tikus yang terjatuh dan masuk ke dalam minyak mentega. Beliau menjawab : Buanglah tikus itu begitu juga dengan mentega yang tersentuh tikus tersebut. setelah itu, makanlah minyak mentega itu.” (Riwayat Al-Bukhari)


Al-Hafiz berkata : Menurut Ibnu Abdul Barr, ulamak bersepakat bahawa apabila bangkai termasuk ke dalam makanan beku, maka buanglah bangkai itu begitu juga dengan makanan yang berada di sekelilingnya. Dengan erti kata lain, seluruh benda yang tersentuh bangkai wajib dibuang bersamaan dengan bangkai itu. Jika bangkai masuk ke dalam makanan yang cair, ulamak berbeza pendapat mengenai cara menyucikannya. Sebilangan besar ulamak berpendapat, jika bangkai terjatuh dan masuk ke dalam benda cair, maka kesemuanya itu menjadi najis sebaik sahaja bangkai tadi masuk ke dalamnya.
Membersihkan Kulit Bangkai


Kulit bangkai sama ada bahagian luaran mahupun dalamnya, dapat disucikan dengan cara menyamaknya. Dalil hadis Ibnu Abbas ra berkata :
“Nabi SAW pernah bersabda : Jika kulit disamak, maka ia menjadi suci.”


Samak ialah menyucikan kulit haiwan selain anjing dan babi dengan syarat-syarat tertentu. Ia menggunakan bahan-bahan yang bersifat tajam (peluntur) seperti tawas, bahan kimia dan sebagainya. Bahan-bahan tersebut dapat menanggalkan dan menghilangkan semua kekotoran dan lendir yang mengandungi kuman¬-kuman penyakit yang melekat pada kulit binatang tersebut. Sabda Rasulullah SAW mafhumnya :
“Setiap kulit yang disamak menjadi bersih.” (Riwayat Muslim)


Menurut pendapat yang sahih, ketika menyamak kulit binatang tidak wajib dibasuh dengan air. Oleh itu, sunat sahaja ketika menyamak kulit itu disertai dengan air. Dalam hal ini apabila kulit berkenaan selesai disamak maka harus ia diperjualbelikan, walaupun ia tidak dibersihkan dengan air.


Akan tetapi dalam masalah menggunakannya untuk kepentingan ibadat solat, seperti dibuat pakaian untuk menutup aurat dan seumpamanya, ataupun untuk kegunaan menyimpan barang yang basuh seperti air dan seumpamanya, tidak harus menggunakan kulit yang telah siap disamak bagi tujuan-tujuan tersebut (untuk dibawa sembahyang dan menyimpan benda yang basah) melainkan setelah dicuci dengan air, walaupun ia disamak dengan bahan yang suci, apatah lagi jika kulit itu disamak dengan menggunakan bahan penyamak yang najis, kerana kulit yang telah disamak itu diumpamakan seperti pakaian yang terkena najis.
Membersihkan Cermin Dan Seumpamanya


Membersihkan cermin, pisau, pedang, kuku, tulang, kaca, bejana berkilat dan setiap kepingan yang tidak berlubang adalah dengan cara menyapu najis berkenaan sehinggalah hilang kesan-kesannya. Para sahabat pernah mengejakan solat, sedangkan mereka membawa pedang yang terkena darah dalam peperangan. Mereka menyapukan mata-mata pedang itu dan cara itu mereka anggap sudah memadai untuk menyucikannya.


Membersihkan Kasut


Selipar dan kasut yang bernajis menjadi suci dengan cara menggosokkannya ke tanah hingga kesan najis tersebut hilang. Dalilnya hadis dari Abu Sa’id Al-Khudri berkata :
“Nabi SAW bersabda : Jika salah seorang kamu datang ke masjid, maka hendaklah membalikkan kedua-dua seliparnya dan kemudian memperhatikan bahagian telapaknya. Jika terdapat kotoran, hendaklah menggosokkannya ke tanah, kemudian dia dibolehkan memakainya dalam solat.” (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)


Di samping itu, kasut dan selipar merupakan benda yang selalunya terkena najis. Oleh yang demikian, menyapunya dengan benda kesat seperti tanah dan batu sepertimana cara menyucikan tempat istinjak sudah memadai malah lebih diutamakan. Ini memandangkan tempat istinjak yang bernajis hanya disapu sebanyak dua atau tiga kali sahaja, sementara selipar dan kasut kerap kali menyentuh benda-benda kesat tersebut.
Perkara Yang Terdapat Dalam Kehidupan
1.    Tali yang biasa digunakan untuk menjemur pakaian terkena najis, kemudian ia kering disebabkan sinar matahari atau tiupan angin adalah dibolehkan menjemur pakaian bersih ke atasnya sebaik sahaja ia kering.
2.    Sekiranya sesuatu objek jatuh ke atas seseorang tanpa diketahui sama ada air biasa atau air kencing, maka dia tidak perlu memastikan objek yang jatuh itu. Tetapi jika dia tetap ingin mengetahui objek berkenaan dengan cara bertanya, maka orang yang ditanya tidak diwajibkan memberi jawapan, meskipun dia tahu bahawa objek tadi sebenarnya benda najis. Di samping itu, si penanya juga diwajibkan membasuh bahagian yang terkena objek yang jatuh itu.
3.    Jika kaki atau hujung pakaian terkena sesuatu benda basah pada waktu malam tanpa diketahui apakah sebenarnya benda basah tersebut, maka dia tidak diwajibkan untuk mengetahuinya seperti mencium dan sebagainya.
4.    Tidak diwajibkan membasuh apa jua benda yang terkena tanah jalanan. Kamail Bin Ziyad berkata : “Aku melihat Ali ra berjalan di tengah-tengah lumpur setelah hujan turun. Namun beliau terus masuk ke dalam masjid, lalu mengerjakan solat tanpa membasuh kedua-dua kakinya terlebih dahulu.
5.    Jika seseorang sudah mengerjakan solat, tiba-tiba terlihat najis pada pakaian atau bahagian badannya yang sebelumnya tidak diketahui, atau mengetahuinya tapi lupa membersihkannya, atau tidak lupa tapi tidak sanggup menanggalkannya, maka solatnya tetap dikategorikan sah dan tidak perlu mengulanginya.
6.    Seseorang yang tidak mengetahui tempat najis pada pakaiannya diwajibkan membasuh kesemua pakaiannya itu. Sebab, tidak ada jalan lain untuk menanggalkan najis tersebut melainkan dengan cara membasuh kesemua pakaiannya. Ini termasuk ke dalam kaedah yang menyatakan : Jika suatu kewajipan tidak sempurna melainkan dengan adanya perkara lain, maka ia juga menjadi wajib.
7.    Jika pakaian milik seseorang itu bercampur antara yang bersih dengan yang najis sehingga dia berasa kebingungan memilih mana satu yang bersih dan yang najis, maka dalam hal ini dia dikehendaki memilih pakaian yang dianggap bersih mengikut keyakinannya. Namun dia hanya dibenarkan memakainya untuk sekali solat sahaja, tanpa mengira jumlah pakaiannya itu sama ada sedikit mahupun banyak. Kes seumpama ini sama halnya dengan masalah kiblat, di mana seseorang dituntut berijtihad menentukan arah kiblat untuk sekali solat sahaja, manakala solat berikutnya dia dikehendaki berijtihad semula dalam menentukan arahnya.


•    Hukum Air Atau Cecair Yang Keluar Dari Manusia

Air Mani


Air mani ialah cecair putih pekat yang keluar kemaluan lelaki dan perempuan apabila sampai kepada kemuncak syahwat. Ia bukan najis tetapi hendaklah mandi wajib bagi mensucikannya untuk membolehkan seseorang itu menunaikan ibadat. Firman Allah yang berbunyi :
“(Setelah mengetahui Yang demikian), maka hendaklah manusia memikirkan: dari apa ia diciptakan. Ia diciptakan dari air (mani) Yang memancut (ke Dalam rahim), Yang keluar dari "tulang sulbi" lelaki dan "tulang dada" perempuan.” (At-Taariq : 5-7)


Air mani lelaki kebiasaannya berwarna putih likat seperti hingus, ia keluar ketika seseorang itu rasa nikmat yang tidak terhingga sehingga secara memancut. Manakala air mani perempuan pula lebih cair dari air mani lelaki dan ia berwarna putih. Cara ia keluar ketika wanita tersebut gersang dan nikmat yang tidak terhingga.
Hukum Air Mani


Menurut Mazhab Syafie air mani adalah suci dan tidak mengandungi najis. Hujah ini berdasarkan kepada Hadis Nabi SAW mafhumnya :
“Aku menghilangkan mani pada baju Rasulullah dengan cara mengikisnya dengan kuku, lalu baginda solat dengan baju itu.” (Riwayat Al-Bukhari)


Berdasarkan hadis di atas ini, ia menunjukkan bahawa air mani itu adalah suci kerana Rasulullah SAW menggunakan pakaiannya yang terkena air mani tersebut untuk solat. Kalau ia najis maka sudah pasti Rasulullah SAW tidak menggunakan pakaian tersebut untuk solat.


Cara Mencuci Air Mani


Bagi air mani yang kering atau menempel kepada pakaian atau sebagainya, maka cara menyucikannya adalah seperti mengikis dengan kuku atau alat-alat yang lain, setelah dikikis cucikan pula dengan air sehingga bersih, maka ia sudah dianggap bersih. Dari Aisyah ra berkata :
“Aku menghilangkan mani pada baju Rasulullah dengan cara mengikisnya dengan kuku, lalu baginda solat dengan baju itu.” (Riwayat Al-Bukhari)


Cara menyucikan air mani yang masih basah atau belum kering, maka disunatkan membasuhnya dengan menggunakan air bersih.
Air Mazi


Maksud Air Mazi adalah sejenis cecair jernih kekuningan yang keluar daripada kemaluan lelaki dan perempuan disebabkan rangsangan ketika permulaan syahwat dengan keadaan tidak sedar. Dari Ali ra berkata :
“Aku adalah seorang lelaki yang sering mengeluarkan mazi. Kemudian aku suruh seorang kawan supaya menanyakan tentang perkara ini kepada Nabi SAW. Aku malu bertanya secara langsung memandangkan puterinya telah menjadi isteriku. Kawan itu pun akhirnya menanyakan masalah ini kepada Nabi SAW dan beliau menjawab : Berwuduklah dan cucilah kemaluanmu.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Hukum Air Mazi


Para ulamak telah bersepakat mengatakan bahawa air mazi ini adalah najis, ia juga boleh menyebabkan batalnya wuduk dan tidak boleh dibawa solat. Bagi orang yang mengeluarkan mazi tidak diwajibkan mandi hadas seperti keluarnya air mani.
Cara Mencuci Air Mazi


Air mazi dianggap seperti najis mutawassitah dan ia perlu dicuci dengan cara membasuh dengan menggunakan air mutlak sehingga bersih. Rasulullah SAW bersabda :
“Berwuduklah dan cucilah kemaluanmu.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Air Wadi


Air wadi adalah air berwarna putih kental atau pekat yang keluar dari kemaluan lelaki dan perempuan setelah habisnya air kencing. Dari Aisyah ra berkata :
“Wadi keluar setelah berkencing. Oleh kerananya, hendaklah seseorang itu mencuci zakar berserta kedua-dua buahnya, lalu berwuduk dan tidak perlu mandi.” (Riwayat Ibnu Munzir)
Hukum Air Wadi


Jumhur ulamak mengatakan air wadi ini adalah benda najis mutawassitah dan hukumnya sama seperti air kencing dan mazi. Ia tidak boleh dibawa solat. Begitu juga dengan Imam An-Nawawi mengatakan bahawa air wadi itu adalah najis.
Cara Mencuci Air Wadi


Cara mencuci air wadi adalah dengan mencuci kemaluan sehingga bersih dan mengambil wuduk. Orang yang mengeluarkan air wadi tidak perlu mandi hadas.
Air Kencing


Air kencing manusia adalah najis mutawassitah dan ia dapat membatalkan wuduk seseorang dan boleh menyebabkan solat itu tidak sah disebabkannya. Orang yang ingin membuang ari kencing ini perlu berhati-hati kerana takut air kencingnya terkena pakaiannya. Semasa membuang air kencing hendaklah dipastikan bahawa air kencing tersebut keluar habis dari kemaluan seseorang, air kencing yang tidak habis akan keluar secara sedar atau tidak sedar, ia boleh menyebabkan pakaian yang dipakai seperti seluar terkenanya dan seluar tersebut tidak boleh dibawa solat. Sebagai tindakan berjaga-jaga bawalah bersama kain atau seluar untuk digantikan ketika hendak melakukan solat, perbuatan ini adalah untuk memastikan supaya pakaian dan diri sentiasa didalam keadaan bersih dan suci. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda mafhumnya :
“Bersih-bersihlah kamu daripada kencing, sebab umumnya siksa kubur itu kerana kencing. (iaitu hendaklah dicuci kemaluan sebersih-bersihnya.)”


Cara untuk memastikan air kencing itu habis atau tidak habis keluarnya dari kemaluan, diantara caranya ialah seperti :
1.    Bagi wanita untuk memastikan air kencing habis atau belum, caranya mudah sahaja dengan menunggu sebentar setelah selesai kencing. Jika didapati tiada lagi air kencing, maka ia bolehlah membersihkan kemalaunnya.
2.    Bagi lelaki pula agak susah sedikit, kebiasaanya memerlukan waktu dan kesabaran. Cara untuk memastikan air kencing keluar, hendaklah diurut batang zakarnya dari pangkal hingga ke hujung kepala zakarnya. Dalam masa yang sama hendaklah berdehem-dehem untuk membantu mengeluarkan sisa-sisa air kencing di dalam zakarnya. Setalah pasti tiada lagi air kencing, maka bolehlah dibersihkan zakarnya dengan kaedah istinjak.


. Hukum Kencing Sambil Berdiri


Tidak dibolehkan kencing berdiri, kerana ia bercanggah dengan sopan dan etika yang mulia, di samping mengelakkan diri daripada percikannya. Namun jika diyakini air kencing itu tidak memercik dan dapat dipastikan tidak akan terkena dirinya, maka tidak menjadi halangan baginya untuk kencing berdiri. Diriwayatkan dari Huzaifah ra yang menceritakan :
“Suatu ketika Nabi SAW singgah di suatu tempat pembuangan sampah berhampiran dengan daerah suatu kaum. Di situ, beliau membuang air kecil sambil berdiri. Melihat itu, aku segera pergi menjauh, tetapi beliau malah berkata : Mendekatlah ke mari Aku pun segera menghampirinya hingga berdiri berhampiran dengan tumitnya. Kemudian aku melihatnya berwuduk dan menyapu kedua-dua khufnya.” (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)


Petikan hadis di atas ini adalah untuk menunjukkan bahawa harus kencing sambil berdiri. Tetapi ia bukan untuk menunjukkan kebiasaan Rasulullah SAW kencing sambil berdiri. Kebiasaan Rasulullah ialah kencing secara duduk.


Imam An-Nawawi mengatakan kencing dalam keadaan duduk adalah lebih baik mengikutnya pandanganku, namun jika seseorang kencing dalam keadaan berdiri, maka itu juga tetap di bolehkan. Kedua-dua keadaan ini pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW.


Ada sebahagian ulamak mengatakan bahawa hukum kencing berdiri adalah makruh kecuali jika ada sebarang keuzuran. Menurut mereka perbuatan Nabi kencing berdiri adalah kerana ada keuzuran bagi baginda, kemungkinan susah bagi baginda untuk duduk pada ketika itu memandangkan tempat itu ialah tempat pembuangan sampah atau mungkin juga baginda mengalami sakit tulang belakang. Menurut Imam Syafie orang Arab jika mereka mengalami sakit belakang, mereka akan kencing berdiri.


Di kalangan para sahabat sendiri terdapat khilaf tentang kencing berdiri. Terdapat riwayat menceritakan bahawa Saidina Umar, Ali, Zaid bin Tsabit, Ibnu Umar, Abu Hurairah dan Anas ra pernah kencing sambil berdiri. Antara sahabat yang memakruhkannya pula ialah Ibnu Mas’ud dan diikuti oleh Imam as-Sya’bi dan Ibrahim bin Sa’ad.


Rumusan dari perbahasan kencing berdiri di atas, maka hukumnya adalah harus jika orang tersebut mengalami kesukaran untuk kencing duduk. Manakala hukum makruh pula jika orang tersebut melakukan kencing berdiri dengan sengaja dan ia tidak mengalami apa-apa kesukaran dan musibah. Namun yang terbaik ialah kencing sambil duduk. Ini ditegaskan oleh Imam Ibnu al-Munzir :
“Kencing sambil duduk lebih aku sukai. Namun kencing berdiri hukumnya adalah harus. Kedua-duanya ada dalil dari Nabi SAW”.


•    Sunat-sunat Fitrah


Berkhatan


Berkhatan adalah memotong selaput kulit yang menutupi kepala zakar lelaki atau memotong sedikit hujung daging yang ada di sebelah atas faraj perempuan. Berkhatan termasuk di antara amalan-amalan yang telah disyariatkan oleh Allah SWT terhadap hambaNya. Ia adalah sebagai pelengkap fitrah yang telah dianugerahkan oleh Allah kepada mereka. Dari Abu Hurairah ra berkata Rasulullah SAW bersabda :
“Nabi Ibrahim yang dijuluki Khalil Ar-Rahman (Kekasih Allah yang maha penyayang) berkhatan setelah berusia lapan puluh tahun dan beliau berkhatan dengan menggunakan kapak.” (Riwayat Al-Bukhari)
Mencabut Bulu Ketiak


Perbuatan mencabut bulu ketiak adalah sunat. Jika sakit maka bolehlah digunakan pisau cukur atau alat-alat yang lain. Boleh juga isteri mencabut bulu ketiak suami dan suami mencabut bulu ketiak isteri. Amalan sebegini boleh menambahkan lagi kemesraan suami isteri. Rasulullah SAW bersabda :
“Lima perkara fitrah iaitu berkhatan, mencukur bulu kemaluan, memotong kuku, mencabut bulu ketiak (cukur), memendekkan misai.” (Riwayat Muslim)
Mencukur Bulu Kemaluan


Mencukur bulu-bulu yang tumbuh di sekitar qubul dan dubur. Ibnu Hajar dalan fathul bari menjelaskan bahawa sunat mencukur bulu-bulu yang tumbuh di sekitar kemaluan depan dan belakang. Dari Anas ra berkata :
“Nabi SAW membenarkan kami untuk tidak menggunting misai, memotong kuku, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu kemaluan selama empat puluh malam dan tidak boleh lebih dari tempoh itu.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud)
Memotong Kuku


Memotong kuku termasuk sunat fitrah. Para ulamak Fikah sepakat, memotong kuku hukumnya sunat dan tidak dimestikan pada waktu tertentu, tetapi sunat memotong pada hari Jumaat. Dari Abi Hurairah ra berkata :
“Nabi SAW menggunting kumis dan memotong kuku setiap hari Jumaat, pagi-pagi sebelum beliau pergi solat Jumaat.” (Riwayat At-Thabrani dan Al-Bazar)


Imam An-Nawawi mengatakan bahawa sunat memulai dengan memotong kuku kedua tangan dahulu sebelum memotong kuku kaki. Mulai dengan telunjuk kanan, kemudian jari tengah, kemudian jari manis, kemudian kelingking, kemudian ibu jari. Sesudah itu jari kelingking, jari manis, jari tengah, telunjuk dan diakhiri dengan ibu jari. Sesudah itu ditukar ke kaki kanan, mulai dengan kelingking kanan dan disudahi dengan kelingking kiri.
Menipiskan Misai


Hukum menipiskan misai adalah sunat. Tidak harus dibiarkan panjang kerana ianya menyerupai orang majusi. Dari Ibnu Umar berkata :
“Nabi SAW bersabda : Bezakan identity kamu dengan kaum musyrikin, iaitu dengan memanjangkan janggut dan menipiskan misai.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Memelihara Janggut


Bagaimanapun, ia tidak boleh dipotong terlampau pendek hingga seakan-akan dicukur dan tidak boleh pula dibiarkan begitu sahaja tanpa rawatan hingga terlihat tidak kemas. Yang terbaik adalah mengambil jalan tengah. Sebab, sikap sedemikian itu adalah simbol kesempurnaan. Di samping itu, janggut yang lebat menunjukkan kejantanan dan kematangan. Dari Ibnu Umar ra berkata Nabi SAW bersabda :
“Berbezalah dengan orang-orang musyrik, peliharalah janggut dan cukurlah misai.”(Riwayat Al-Bukhari)
Merapikan Rambut


Abu Qatadah membubuh minyak ke atas rambutnya sebanyak dua kali sehari dan ini merupakan perintah Nabi SAW yang berbunyi : Malah hendaklah kamu sentiasa menghormatinya dengan cara merapikannya. Mencukur rambut kepala dibolehkan dan begitu juga memanjangkannya dengan syarat dirawat dengan baik. Dari Abu Hurairah ra berkata :
“Nabi SAW bersabda : Sesiapa yang mempunyai rambut, hendaklah orang itu memuliakannya dengan cara merapikannya.” (Riwayat Abu Daud)


Mencukur atau gunting sebahagian rambut dan meninggalkan sebahagian yang lain hukumnya ialah makruh tanzih. Dari Ibnu Umar ra berkata :
“Rasulullah SAW melarang daripada Al-Qaza. Lalu ada seseorang yang bertanya kepada Nafi : Apakah yang dimaksudkan dengan Al-Qaza itu? Nafi menjawab : Mencukur sebahagian rambut kepala seseorang kanak-kanak menakala sebahagiannya lagi dibiarkan.” (Riwayat Al-Bukhari)


Zaman sekarang ini telah menjadi budaya anak-anak muda mengikuti gaya rambut yang berbagai, ada yang berbentuk ala trojen, ada bentuk ala Korea dan Jepun dan banyak lagi jenis rambut yang digayakan oleh orang muda zaman sekarang ini. Berdasarkan hadis di atas mengatakan orang yang memotong rambut sebahagian dan ditinggalkan sebahagian itu adalah makruh. Tetapi kita kena ingat perkara yang makruh ini sangat hampir dengan perkara yang haram. Takut-takut perbuatan mengayakan rambut itu menjadi haram dengan sebab-sebab yang tertentu. Sebagai sikap berjaga-jaga lebih baiklah elakkan dari memotong dan mengayakan rambut seperti itu.
Membiarkan Uban


Lelaki dan perempuan disunatkan memelihara atau membiarkan uban tanpa dicabut, kerana uban ini melambangkan seseorang itu telah berusia atau telah tua dan masa dia hidup di dunia ini sudah tidak lama lagi. Hal ini juga akan membuatkan seseorang itu sentiasa mengingati mati. Orang yang menyimpan uban juga akan dihapuskan oleh Allah satu kesalahan yang telah dilakukannya. Rasulullah SAW bersabda :
“Janganlah kamu mencabut uban, kerana ia merupakan cahaya bagi seorang muslim. Allah akan mencatat satu kebaikan, mengangkat satu darjat dan menghapus satu kesalahan dari setiap muslim yang beruban selama masih memeluk agama Islam.”(Riwayat Ahmad, Abu Daud, At-Tirmizi, An-Nasai dan Ibnu Majah)



•    Hati yang bagaimana oh Tuhan ?


Kita selalu bertanya tentang keadaan kesihatan zahir tapi kita tetapi sering mengabaikan keadaan hati nurani kita. Kita sanggup menghabiskan duit ratusan ribu untuk mengubati penyakit zahir tetapi tidak mempedulikan kesihatan hati kita sedangkan tuhan hanya menerima hati kita . Firman Allah swt:
“Pada hari tidak bergunanya harta dan anak pinak kecuali yang berjumpa dengan tuhan dengan hati yang sejahtera.”


Hati yang sihat adalah hati yang mempunyai perasaan semasa melakukan ibadat. Orang yang memiliki hati yang sihat akan merasai kemanisan dalam ibadahnya.


Ibnul Qayyim berkata :
“Periksalah hatimu pada tiga keadaan : ketika kamu membaca Al-Quran, ketika dalam majlis zikir dan ketika kamu bersendirian dengan tuhan. Sekiranya kamu dapati hati kamu kosong maka hendaklah kamu meminta pada Allah menganugerahkan hati pada mu. Sesungguhnya kamu tidak ada hati.”


Hati yang sihat adalah hati yang gementar apabila disebut nama tuhan . Hati yang terkesan dengan bacaan Al-Quran. Hati yang teruja bila mendengar azan. Hati yang takut apabila disebut api neraka tuhan. Firman Allah swt :
“Sesungguhnya orang-orang beriman hanyalah orang-orang yang yang gementar hati mereka bila disebut nama Allah, bertambah iman mereka apabila dibacakan ayat-ayat Allah swt dan berserah hati mereka pada tuhan.” (Al-Anfal : 2)


Hati yang sihat adalah hati yang sentiasa mengambil ibrah (pengajaran) pada setiap kejadian tuhan. Firman Allah swt :
“Sesungguhnya kejadian langit dan bumi serta silih ganti siang dan malam adalah tanda-tanda kepada orang-orang yang berakal.” (Ali Imran : 190)


Sesungguhnya otak yang berfikir tentang kejadian tuhan dan sentiasa mengambil pengajaran adalah dari hati yang sihat. Firman Allah swt :
“Mengapakah mereka tidak berjalan di atas muka bumi supaya mereka memiliki hati yang berakal untuk memahami atau mempunyai telinga yang mendengar untuk menerima. Sesungguhnya bukan mata yang buta tetapi hati yang ada di dada itu yang buta.” (Al-Hajj : 22)


Sebenarnya apa yang berlaku setiap hari pada diri kita dan sekeliling kita ada mempunyai banyak pengajaran. Sebanyak mana pengajaran yang boleh diambil setinggi itulah tahap kesihatan hati kita.


Contohnya :


Suatu hari Hasan Al-Basri diberi air untuk dia berbuka puasa. Bila air itu hampir dengan mulutnya beliau menangis. Beliau berkata “ Aku teringat akan keinginan ahli neraka seperti yang disebut dalam Al-Quran :
“Berilah hai ahli syurga , air minum untuk kami …” (Al-A’raf : 50)


Namun jawapannya :
“Sesungguhnya Allah mengharamkan air dan rezki untuk orang kafir.” (Al-A’raf : 50)


Hati yang sihat akan menyebabkan mulut yang baik. Mulut yang baik adalah mulut yang sentiasa menyebut nama tuhan dan tidak mengumpat, memaki, menyebar keaiban orang, mengeluh dan sebagainya.


Nabi saw bersabda :
“Tidak lurus iman seseorang sehingga lurus hatinya dan tidak lurus hatinya sehinggalah lurus lidahnya.” (Riwayat Hakim)


Hati yang sihat adalah hati yang khusyuk dalam ibadatnya dan hati yang sentiasa menerima kebenaran walaupun ia pahit. Firman Allah swt :
“Bilakah masanya untuk orang-orang beriman untuk khusyuk hati mereka bagi mengingati Allah dan menerima kebenaran yang Allah turunkan…” (Al-Fatir : 16)


Hati ini sentiasa terdetik nama Allah. Sebanyak mana kamu mengingat sesuatu setinggi itulah kasihmu padanya. Sekiranya hatimu banyak menyebut nama tuhan itu tanda kasihmu padanya adalah benar-benar wujud. Kalau hati lebih banyak menyebut tentang wanita, takhta, kerja, periksa, harta, kereta atau dunia maka dakwaan cintamu pada tuhan adalah bohong.


Hati yang sihat adalah hati yang banyak runsing tentang hal akhirat dan masalah umat Islam.


Kita lihat Nabi bersabda :
“Surah Hud dan saudara2nya telah menyebabkan kepalaku beruban.”


Ini kerana surah-surah ini (Al-Hud, An-Nazia’t dan Al-Mursalat) mengandungi tentang kisah Nabi-nabi yang terdahulu, kisah tentang neraka dan kisah umat-umat yang derhaka.


Allah menempelak manusia yang banyak pengetahuan dunia tetapi jahil dan lalai tentang akhiratnya.
“Mereka mengetahui tentang hal ehwal dunia tetapi lalai dengan akhirat mereka.” (Ar-Rum : 7)


Kita tahu tentang nama benda yang kecil dan mikro dalam tubuh manusia, dalam komputer, dalam kereta tetapi tidak tahu berapa lama api neraka dipanaskan, berapa kali ganda api neraka dari api dunia, apakah nama-nama makanan dan minuman ahli neraka dan lain-lain.


Kita tahu nama-nama artis , nama pemain bola dan nama selebriti tetapi kita tidak tahu apakah nama binatang yang menyeksa manusia di akhirat.
YA ALLAH HATIKU TERLALU BANYAK MEMIKIRKAN TENTANG DUNIA SEHINGGA MELUPAKAN MU


YA ALLAH HATIKU SENTIASA RUNSING KEHILANGAN DUNIA TETAPI BANYAK MANA AKHIRAT YANG HILANG DAN AKU BUAT TAK TAHU


YA ALLAH HATI YANG KERAS DAN BERPENYAKIT CINTA DUNIA INI HANYA LAYAK UNTUK DIBAKAR BERSERTA DENGAN SARUNGNYA SEKALI (JASAD) TETAPI AKU TAK DAYA MENAHAN API NERAKAMU


YA ALLAH BERSIHKANLAH HATI INI DARI PENYAKIT DAN CAMPAKKANLAH PADANYA CINTA PADAMU


SESUNGGUHYA SEMUA CINTA ADALAH SEMENTARA DAN MENYAKITKAN MELAINKAN CINTA PADAMU DAN CINTA APA YANG KAU SURUH MENYINTANYA.


YA ALLAH AKU TIDAK BERPUTUS ASA UNTUK MENDAPATKAN HATI YANG BERSIH DAN SIHAT UNTUK AKU PERSEMBAHKAN PADA MU DI SANA… BANTULAH AKU.. TOLONGLAH AKU.. JANGAN KECEWAKAN KU YA RAMAN YA RAHIM


Sumber : Blog Cina Islam




•    Fadhilat Solat Subuh Berjemaah


Ganjaran pahala solat Subuh mengatasi keindahan dunia sebagaimana sabda Rasulullah saw lebih-lebih lagi apabila dilakukan secara berjemaah :


"Berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berjalan ke masjid-masjid di waktu gelap bahawa dia akan mendapat cahaya yang sempurna di Akhirat kelak." (Hadith riwayat Abu Daud dan Tirmidzi)


Jagalah solat Subuh kerana ia menggerunkan kaum kafir kerana kesatuan kita dan menjadi lambang kekuatan kita umat Islam.


Rasulullah saw mendoakan umatnya yang bergegas dalam melaksanakan solat Subuh, sebagaimana disebutkan dalam hadis :


"Ya Allah, berkatilah umatku selama mereka suka bangun subuh (iaitu mengerjakannya)." (Hadis riwayat Tirmidzi, Abu Daud, Ahmad dan Ibnu Majah)


Sabda Rasulullah saw :


"Seseorang mukmin yang mengerjakan solat Subuh selama 40 hari secara berjemaah, akan diberi oleh Allah swt dengan dua kebebasan, iaitu dibebaskan daripada api neraka dan dibebaskan daripada nifaq (sifat munafik)"


Diriwayatkan daripada Muslim daripada Uthman bin Affan berkata, Rasulullah saw bersabda yang maksudnya :


"Barang siapa yang solat Isyak berjemaah maka seolah-olah dia telah solat setengah malam, barang siapa solat Subuh berjemaah, maka seolah-olah dia telah melaksanakan solat malam satu malam penuh." (Hadis riwayat Muslim)


Sumber : IluvIslam


•    Memilih Isteri dengan Baik


"Dan, kahwinkanlah orang-orang yang sendirian di antara kamu, dan orang-orang yang berkahwin) dari hamba-hambanya sahayamu yang lelaki dan hamba-hambanya sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah (SWT) akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan, Allah (SWT) Maha Luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui." (An-Nur : 32 )


Ciri – ciri isteri solehah yang telah ditetapkan dalam sunnah Rasulullah saw:
1.    Wanita solehah, seperti hadis Rasulullah saw bahawa dunia ini seluruhnya adalah kesenangan. Tetapi sebaik-baik kesenangan di dunia adalah isteri yang solehah.
2.    Membantu suami ke jalan kebaikan, Rasulullah saw bersabda "Hendaklahnya kalian memiliki hati yang selalu bersyukur, lidah yang selalu berzikir, dan isteri mukminah yang menolongnya melakukan urusan akhirat."
3.    Wanita penyayang dan berketurunan, Rasulullah saw bersabda "Nikahilah wanita yang penyayang dan berketurunan atau boleh melahirkan zuriat, sebab aku akan membanggakan kalian di hadapan para nabi kelak di hari kiamat".


Rasulullah saw menjelaskan jika wanita solehah adalah satu perkara yang membawa kebaikan dalam hidup seorang lelaki, maka wanita yang buruk (jahat) adalah salah satu dari empat perkara yang mendatangkan penderitaan, seperti yang disebutkan dalam hadith sahih yang bermaksud :


"Di antara yang mendatangkan kebahagian itu ialah perempuan solehah yang jika kamu melihatnya maka akan membuatmu terhairan-hairan, dan jika kamu meninggalkannya berpergian maka dia akan menjamin keamanannya pada dirinya dan hartamu. Dan di antara yang mendatangkan penderitaan ialah wanita yang jika kamu melihatnya akan bersikap buruk padamu dan melontarkan kata-kata yang kasar kepadamu, dan jika kamu meninggalkannya berpergian maka kamu tidak akan merasa aman pada dirinya dan hartamu."


Berusaha Memperbaiki Isteri


Apabila isteri itu seorang yang solelah, maka itu merupakan kenikmatan dan anugerah Allah SWT. Tetapi, jika ia tidak solehah atau tidak baik, maka merupakan kewajipan pemimpin rumah tangga untuk berusaha memperbaikinya. Perkara ini boleh terjadi kerana beberapa sebab, di antaranya jika seorang lelaki mengahwini wanita yang pada dasarnya tidak taat agama, kerana lelaki tersebut pada mulanya tidak member keutamaan pada aspek keagamaan calon isterinya, atau ia menikahinya dengan harapan dapat memperbaikinya kemudian, atau kerana desakan dan paksaan keluarganya. Namun, ia hendaklah terlebih dahulu mengetahui bahawa yang memberi hidayah itu Allah SWT, dan Allahlah yang sebenarnya memperbaiki keadaan. Selain dari mendidik suami hendaklah sentiasa berdoa semoga isteri mereka akan berubah menjadi insan yang lebih baik dan akhir sekali bertawakkal kepada Allah SWT.


Untuk memperbaiki isteri ada beberapa cara:
4.    Memberikan tumpuan untuk memperbaiki cara peribadatannya kepada Allah SWT.
5.    Berusaha memperbaiki aspek keimanannya.
6.    Menganjurkannya melakukan qiyamullail (solat malam).
7.    Menganjurkan supaya rajin membaca Quran.
8.    Menganjurnya untuk menghafal zikir-zikir dan doa-doa serta mengingatkannya agar melakukannya pada waktu-waktu dan kesempatan-kesempatan yang di anjurkan.
9.    Mendidiknya agar rajin bersedekah.
10.    Menyuruhnya agar membaca buku-buku keislaman yang bermanfaat.
11.    Menyuruhnya agar mendengar kaset-kaset keIslaman yang berfaedah, baik yang berkenaan dengan ilmu pengetahuan mahupun pembinaan keimanan, serta terus berusaha untuk menyediakan kaset-kaset tersebut.
12.    Memilih sahabat-sahabat dari kalangan wanita-wanita yang beragama, dan mengikat tali persaudaraan bersama mereka, sebagai teman berbincang dalam kebaikan dan saling kunjung-mengunjungi dengan tujuan-tujuan yang bermanfaat.
13.    Mencegahnya dari melakukan kejahatan dan menutup pintu-pintunya dengan cara menjauhkannya dari bergaul dengan teman-teman yang buruk perangainya dan menjauhi tempat-tempat kejahatan.


Suasana Rumah Tangga Yang Diberkati


Rumah sebagai tempat mengingat Allah SWT


Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud "Perumpamaan rumah yang dijadikan tempat mengingat Allah SWT dan rumah yang tidak dijadikan tempat mengingat Allah SWT adalah bagaikan perbezaan antara orang yang hidup dan orang yang telah meninggal."


Apabila rumah dijadikan tempat mengingat Allah SWT, maka malaikat akan masuk ke dalamnya dengan membawa rahmat dan berkat. Mengingat Allah SWT dengan banyak membaca Al- Quran, solat, zikir dan mengkaji ilmu agama dan membaca beraneka ragam ilmu. Selain itu rumah tersebut juga harus jauh dari kemaksiatan dan kemungkaran dengan dipenuhi


dengan gambar-gambar khurafat, patung-patung, lagu-lagu yang mengkhayalkan dan minuman keras. Rumah sebagai kiblat, tempat sujud dan ibadah kepada Allah SWT.


Pendidikan keimanan terhadap ahli keluarga
14.    Menyuruh isteri solat malam.
15.    Menyuruh isteri bersedekah. Jika ketua rumah tangga ingin menunjukkan teladan yang baik bagi anggota keluarganya maka hendaklah ia berpuasa pada ayyamul baidh "Hari-hari purnama" (tanggal 13, 14, 15), puasa Isnin-Khamis, puasa Hari Tasu'a (tanggal 9 Muharram), puasa Hari Asyura' (tanggal 10 muharram), puasa hari Arafah (9 Zulhijjah) dan banyak berpuasa pada bulan Muharram dan bulan Syawal, sehingga keteladanan ini akan menjadi pendorong bagi ahli keluarga.
Amalan sunnah dalam rumahtangga
16.    Bacaan ketika masuk rumah, masuk ke rumah dengan menyebut nama Allah SWT.
17.    Doa ketika keluar rumah, keluar rumah dengan menyebut nama Allah SWT dan membaca doa.
18.    Bersiwak, Rasulullah SAW apabila ingin masuk ke dalam rumah baginda akan memakai siwak iaitu membersihkan gigi dengan kayu siwak.
19.    Sentiasa mengamalkan doa-doa & amalan Rasulullah saw dalam apa jua aktiviti kehidupan sehari-hari. Mengusir syaitan dari dalam rumah Rasulullah SAW bersabda: "Janganlah menjadikan rumah kalian laksana kuburan. Sesungguhnya syaitan itu akan pergi dari rumah yang dibacakan surah Al-Baqarah di dalamnya."
Dalam riwayat yang lain Rasulullah SAW menerangkan, "Bacalah surah Al-Baqarah di dalam rumah kalian sebab syaitan tidak akan masuk ke dalam rumah yang dibacakan surah Al-Baqarah di dalamnya."
Mengenai keutamaan dua ayat terakhir dari surah Al-Baqarah itu, serta pengaruhnya kerana membacanya di dalam rumah, baginda menyebutnya :


"Sesungguhnya Allah SWT telah menulis sebuah kitab dua ribu tahun sebelum Ia menciptakan langit dan bumi, dan kitab itu berada di Arasy, dan Allah (SWT) telah menurunkan darinya dua ayat yang Allah SWT jadikan sebagai penutup surah Al-Baqarah. Jika kedua ayat tersebut tidak dibaca di dalam sebuah rumah selama tiga hari maka ia akan didekati oleh syaitan."


Mengutamakan Pendidikan Agama & Mengajarkan Hukum-Hukum Islam
20.    Melakukan solat di rumah.
21.    Bukan orang lain menjadi imam.
22.    Meminta izin, hendaklah orang Islam meminta izin sebelum memasuki mana-mana rumah, dan janganla dia masuk kecuali dengan izin shahibu bait.
23.    Tidak perlu meminta izin masuk ke rumah penginapan (tamu).
24.    Diizinkan makan di rumah para keluarga.
25.    Meminta izin masuk ke bilik istirehat ibu-bapa.
26.    Larangan membuang masa di rumah orang lain tanpa izin mereka.
27.    Menetap di rumah semasa iddah.
28.    Memisahkan tempat tidur bagi isteri yang nusyuz (yang tidak taat padanya) untuk memberi pengajaran supaya isteri tersebut berubah.
29.    Tidak tidur malam sendirian di rumah, diriwayatkan oleh ibn Umar Rasulullah SAW melarang orang bersendirian di dalam rumah kerana bahaya bagi dirinya, larangan ini demi kemaslahatannya.
30.    Tidak tidur di atas loteng yang tidak ada dindingnya, kerana jika orang itu jatuh ke bawahlalu mati maka tidak ada orang yang dapat dipertanggungjawabkan atas kematiannya.
31.    Kucing tidak najis, dan Rasulullah SAW bersabda bahawa: "Kucing tidak najis, dan termasuk binatang yang bolak-balik di hadapan kalian".
Saling Berkomunikasi Dalam Keluarga
32.    Menyediakan masa bersama untuk ahli keluarga, Allah SWT menerangkan di dalam Al- Quran, "sedang urusan mereka (diputuskan) dengan musyawarah antara mereka….."
33.    Menyembunyikan perselisihan keluarga di hadapan anak-anak.
34.    Tidak menerima tetamu yang tidak disukai.
35.    Mengawasi aktiviti-aktiviti keluarga, siapa teman mereka, apa yang dibawa masuk ke dalam rumah, apa yang terdapat di dalam bilik mereka dan ke mana anak-anak pergi dan dengan siapa mereka pergi.


Memberikan Perhatian Kepada Anak-Anak
36.    Hafalan Al-Quran dan kisah-kisah dalam Islam Tidak ada yang lebih baik bagi seorang bapa selain membacakan ayat-ayat Al-Quran kepada anak-anaknya dan menerangkannya secara sederhana, serta memberi hadiah apabila mereka menghafalnya. Anak-anak dapat menghafal surah yang sering dibaca oleh bapanya misalnya, apabila sering diadakan majlis ta'lim dirumah pada setiap jumaat dan pada majlis itu sering dibaca surah Al- Kahfi maka tidak mustahil anak itu dapat menghafal surah tersebut dengan cepat. Sering menceritakan pada anak-anak kisah-kisah nabi, kisah teladan dan pahlawan –pahlawan Islam. Mengajar anak-anak zikir dan doa-doa harian yang dapat diamalkan oleh anak-anak seharian dan yang paling utama sekali bapa harus menunjukkan contoh yang baik supaya dapat diikuti olah anak-anak.
37.    Memperhatikan sahabat anak-anak.
38.    Menyediakan permainan yang bermanfaat.
39.    Memisahkan tempat tidur antara anak lelaki dan anak perempuan.
40.    Akrab dan lemah lembut terhadap anak-anak.
41.    Displin waktu tidur dan makan.
42.    Menilai pekerjaan wanita di luar rumah, dengan memastikan bahawa isteri dan anak-anak mempunyai pekerjaan dan halal di sisi agama.
43.    Menjaga rahsia rumah-tangga.
44.    Tidak menyebarkan rahsia hubungan suami-isteri.
45.    Tidak menyebarkan perselisihan- perselisihan yang terjadi antara suami-isteri.
46.    Tidak membongkar apa saja yang bersifat peribadi, sekiranya dibongkar di hadapan orang lain akan menimbulkan mudharat bagi rumahtangga atau salah seorang ahlinya.


Keperibadian Dalam Rumahtangga
47.    Bersikap lemah lembut terhadap ahli keluarga.
48.    Membantu menyelesaikan pekerjaan rumah.
49.    Bermesra dengan keluarga.
50.    Mencegah akhlak tercela di dalam rumah seperti dusta, ghibah (memperkatakan keburukan orang lain), namimah dan sebagainya.
51.    Menggantungkan cabuk pada tempat yang dapat dilihat oleh anggota keluarga, sebagai amaran bahawa apabila ada diantara anggota keluarga yang melakukan kesalahan berat maka mereka akan dihukum.


Menghindari Kemungkaran Di Dalam Rumah
52.    Berhati-hati, jangan sampai kerabat yang bukan mahram masuk ke dalam rumahnya yang ada wanita di dalamnya pada waktu ketiadaan suaminya.
53.    Memisahkan para lelaki dan wanita ketika melakukan kunjungan keluarga.
54.    Bersikap waspada pada pemandu dan pembantu rumah.
55.    Berhati-hati pada bahaya TV dan video.
56.    Berhati-hati pada bahaya telefon.
57.    Wajib menghilangkan segala bentuk symbol keagamaan orang-orang kafir dan agama batil dari dalam rumah.
58.    Menghilangkan gambar-gambar yang bernyawa.
59.    Laranglah merokok di rumah anda.
60.    Hindari jangan sampai anda suka memelihara anjing di rumah.
61.    Menghindari mengukir atau menghiasi rumah sehingga menyerupai rumah orang kafir.


Memilih Lokasi Dan Suasana Kediaman


Lokasi rumah


Sebaiknya, lokasinya dekat dengan masjid. Dalam hal ini, terdapat berbagai faedah yang amat besar nilainya, dengan mendengar azan, maka akan memudahkan bagi kaum lelaki pergi solat berjemaah, bagi wanita mudah ke majlis ilmu dan bagi kanak-kanak pergi ke kelas Al-Quran. Hendaklah rumah itu tidak berada pada bangunan yang ada kefasikan, atau berada pada kompleks perumahan yang ada padanya orang-orang kafir dan didalamnya terdapat kolam renang yang akan berkumpul lelaki dan perempuan. Kemudian rumah tidak terbuka, kalau pun terjadi demikian maka hendaklah dibuat tabir atau dengan meninggikan tembok.


Suasana di dalam rumah


Suasana di dalam rumah, hendaklah diperhatikan kemungkinan memisahkan antara lelaki dan perempuan dengan memasuki pintu yang berlainan. Jika hal ini tidak ada memadai dengan memasang pemisah dengan kain.


Memilih tetangga dahulu


Memilih tetangga dahulu sebelum memilih rumah Rasulullah Saw telah memberitahu mengenai empat perkara yang dapat mendatangkan kebahagian, lalu baginda menyebut hal itu, dan di antaranya ialah al-jar ash-shalih tetangga yang soleh. Juga baginda memberitahukan empat perkara yang dapat mendatangkan keburukan di antaranya ialah al-jar as-su' tetangga yang jahat.


Menyediakan kemudahan


Menyediakan kemudahan untuk ahli keluarga, kemudahan perabot di rumah dan keselesaan di rumah.


Mengutamakan kesihatan ahli keluarga


Rasulullah SAW apabila salah seorang dari keluarganya mengalami sakit, baginda menghembuskan berbagai bacaan ta'awwudz (meminta perlindungan) kepadanya.


Sumber : Laman Rasmi Bait Muslim PMRAM


•    Cara Pengebumian Jenazah & Maklumat Tambahan


Adab Ketika Menghantar Jenazah
1.    Tidak bercakap kuat sama ada hal-hal keduaniaan mahu pun membaca Al-Quran atau zikir.
2.    Haram membawa bersama api, memainkan muzik atau gendang.
3.    Makruh menutup keranda mayat lelaki.
4.    Dilarang duduk di tanah sehingga jenazah diletakkan.
Perkara Tahyul Dan Khurafat Mengenai Kematian
5.    Mimpi cabut gigi – bawa alamat kematian.
6.    Bunyi burung hantu – ada kematian.
7.    Hujan panas tiba-tiba – ada yang mati berdarah.
8.    Perempuan mati bersalin – akan menjelma menjadi pontianak.
9.    Mayat akan bangun kalau dilompat kucing.
10.    Kacip atau besi diletakkan di atas mayat – hilang syaitan.
11.    Kubur wali keramat – dapat hajat dan tunai nazar.
Maklumat Tambahan
12.    Menurut Imam Syafie orang yang mati kerana membunuh diri dengan sengaja hendaklah dimandikan dan disolatkan. Manakala pendapat Abu Yusof dan Ibn Al-Human pula, mayat orang membunuh diri tidak disolatkan.
13.    Sunat bagi Imam Syafie mengangkat tangan semasa takbir dan diletakkan dibawah paras dada. Imam Hambali mengangkat tangan semasa takbir dan diletakkan dibawah pusat.
14.    Sunat merendahkan suara ketika membaca (tidak nyaring) dan tidak dibaca Doa Iftitah.
15.    Sunat bertahmid sebelum selawat dan berjemaah dalam saf.
16.    Sunat berdoa untuk orang yang beriman.
17.    Beri salam.
Cara-cara Mengebumikan Jenazah
18.    Hendaklah diturunkan jenazah seberapa cermat yang boleh, lemah-lembut dan penuh hormat di dalam suasana tenang.
19.    Letakkan jenazah ke dalam liang lahad dan baringkan di atas lambung kanan dengan mengadap kiblat.
20.    Disandarkan mayat dengan ketulan tanah supaya jenazah itu tidak terbalik atau terpesong dari kiblat.
21.    Tutup liang lahad dengan papan.
22.    Sunat meraub tanah tiga raub selepas mayat dimasukkan ke dalam liang lahad atau selepas ditutup dengan papan dan diletakkan di belakang mayat.Ketika rauban pertama bacalah: منها خلقناكم .Pada rauban kedua وفيها نعيدكم dan pada rauban ketiga ومنها نخرجكم تارة اخرى
23.    Timbuskan tanah dengan perlahan-lahan dan cermat. Pastikan supaya tanah tidak memasuki liang lahad tadi.
24.    Sunat meninggikan kubur sekadar sejengkal dari paras bumi.
25.    Sunat diletakkan tanda seperti batu nisan dan sebagainya supaya senang dikenali.


•    Solat Jenazah


Solat Jenazah


Solat yang dilakuakn oleh orang hidup kepada orang yang telah meninggal dunia agar diampunkan dosanya, mendapat rahmat dan keredaan Allah swt.


Solat jenazah adalah fardhu kifayah keatas orang hidup kecuali yang mati syahid. Menurut Imam Syafie : Wali adalah lebih utama (aula) berbanding pemerintah. Mulai bapa, datuk ke atas dan anak-anak lelaki, cucu lelaki ke bawah dan seterusnya. Imam-imam mazhab bersepakat tentang harus solat ke atas beberapa jenazah serentak tetapi afdzal kalau dilakukan secara berasingan dan ia didahulukan ke atas mayat yang paling dimuliakan sewaktu hidup. Kedudukan jenazah yang ramai bolehlah diletakkan sama ada secara berbaris atau disusun beberapa baris.


Persediaan Solat Jenazah
1.    Mayat diletakkan didepan imam melintang ke qiblat.
2.    Mayat lelaki kepalanya sebelah kiri imam dan imam berdiri di sebelah kepada atau dada mayat.
3.    Mayat perempuan kepalanya sebelah kanan imam dan imam berdiri di pinggangnya.
4.    Bagi solat ghaib, imam dan makmum mengadap qiblat tanda ada jenazah di depan.
Sebelum solat, sunat Bilal melafazkan :


الصَلاَةُ جَامِعَه الصَلاَةُ الْمَيِّت اَلْحَاضِرُ رَحِمَكُمُ الله


Jawab Makmum :


الصَلاَةُ لاَ اِلَهَ اِلاَّ الله


Sof solat jenazah seboleh-bolehnya dijadikan 3 sof dan makmum digalakkan melebihi 40 orang.


Rukun Solat Jenazah
5.    Niat pada takbiratul ihram.
6.    Berdiri bagi yang berkuasa tanpa sebarang rukuk dan sujud.
7.    Takbir 4 kali termasuk takbiratul ihram.
8.    Membaca surah Al-Fatihah sesudah takbir pertama.
9.    Selawat atas Nabi Muhammad saw (selawat Ibrahimiyyah) sesudah takbir kedua.
10.    Doa khas bagi jenazah sesudah takbir ketiga.
11.    Memberi salam sesudah takbir keempat.
Cara Mengerjakan Solat Jenazah


Berdiri betul dan lafaz niat solat jenazah


Lafaz niat solat jenazah mayat perempuan.

أُصَلِّي عَلَى هَذِهِ اْلمَيْتَةِ أَرْبَعَ تَكْبِيْرَاتٍ فَرْضَ كِفَايَةِ للهِ تَعَالَى


“Sahaja aku solat keatas ini mayat perempuan empat takbir fardhu kifayah kerana Allah taala”.


Lafaz niat solat jenazah mayat lelaki.


أُصَلِّي عَلَى هَذَا اْلمَيِّتِ أَرْبَعَ تَكْبِيْرَاتٍ فَرْضَ كِفَايَةِ للهِ تَعَالَى


“Sahaja aku solat keatas ini mayat lelaki empat takbir fardhu kifayah kerana Allah taala”.


Lafaz niat solat jenazah mayat kanak-kanak Lelaki.


أُصَلِّى عَلَى هَذَا اْلمَيِّتِ الطِفْلِ اَرْبَعَ تَكْبِيْرَاتٍ فَرْضَ كِفَايَةِ للهِ تَعَالَى


“Sahaja aku sembahyang atas mayat kanak-kanak lelaki empat takbir fardhu kifayah kerana Allah Taala”.


Lafaz niat solat jenazah mayat kanak-kanak perempuan.


أُصَلِّى عَلَى هَذِهِ اْلمَيْتَةِ الطِفْلَةِ اَرْبَعَ تَكْبِيْرَاتٍ فَرْضَ كِفَايَةِ للهِ تَعَالَى


“Sahaja aku sembahyang atas mayat kanak-kanak perempuan empat takbir fardhu kifayah kerana Allah Taala”.


Lafaz niat solat jenazah bagi imam ditambah perkataan إِمَامًا.

أُصَلِّي عَلَى هَذِهِ اْلمَيْتَةِ أَرْبَعَ تَكْبِيْرَاتٍ فَرْضَ كِفَايَةِ إِمَامًا للهِ تَعَالَى


“Sahaja aku solat keatas ini mayat perempuan empat takbir fardhu kifayah menjadi imam kerana Allah taala”.


Lafaz niat solat jenazah bagi makmum ditambah perkataan مَأْمُوْمًا


أُصَلِّي عَلَى هَذِهِ اْلمَيْتَةِ أَرْبَعَ تَكْبِيْرَاتٍ فَرْضَ كِفَايَةِ مَاْمُوْماً للهِ تَعَالَى


“Sahaja aku solat keatas ini mayat perempuan empat takbir fardhu kifayah mengikut imam kerana Allah taala”.


Kemudian bertakbir dengan takbir yang pertama (takbiratul ihram) disertai dengan niat di hati, kemudian baca Al-Fatihah.


Takbiratul ihram


اَ للهُ اَكْبَرُ


“Allah Maha Besar”.


Beserta dengan niat


“Sahaja aku solat keatas ini mayat perempuan/lelaki/kanak lelaki/kanak perempuan empat takbir fardhu kifayah menjadi imam/mengikut imam kerana Allah taala”.


Membaca Surah Al-Fatihah




“Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani, segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan Yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam, yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat), engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja Kami memohon pertolongan. tunjukilah Kami jalan Yang lurus. iaitu jalan orang-orang Yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang Yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang Yang sesat.” (Al-Fatihah : 1-7)


Takbir kedua baca selawat.
أَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى اَلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيْمَ وَعَلَى اَلِ إِبْرَاهِيْمَ وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى اَلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيْمَ وَعَلَى اَلِ إِبْرَاهِيْمَ فِى الْعَالمَِيْنَ إِنَّكَ حَمِيْدٌ مَجِيْدٌ.


“Ya Allah berilah rahmat kepada junjungan Nabi Muhammad saw, dan berilah kesejahteraan kepada junjungan kami Nabi Muhammad saw sebagaimana Engkau memberikan kepada Nabi Ibrahim dan keluarganya. Berkatilah Nabi Muhammad saw dan keluarganya sebagaimana Engkau telah memberikan keberkatan kepada Nabi Ibrahim dan keluarganya. Sesungguhnya atas alam-alam ini, Engkaulah zat yang terpuji dan Maha mulia.”


Takbir ketiga berdoa untuk si mati.
أَللَّهُمَّ اغْفِرْلَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ وَوَسِعْ مَدْخَلَهُ وَاغْسِلْهُ بِالْمَاءِ وَالْثَلْجِ وَالْبَرَدِ، وَنَقِّهِ مِنَ الْخَطَايَا كَمَا نَقَّيْتُ الثَّوْبَ الأَبْيَضَ مِنَ الدَّنَسِ، وَأَبْدِلْهُ دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهِ ، وَأَهْلاً خَيْرًا مِنْ أَهْلِهِ وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهِ ، وَأَدْخِلْهُ الْجَنَّةَ ، وَأَعِذْهُ مِنْ عَذَابِ اْلقَبْرِ وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ


“Ya Allah, ampunilah baginya dan kasihilah dia dan afiatkan dia dan maafkanlah kesalahannya dan muliakan kedudukannya dan lapangkan kuburnya dan bersihkan dia dengan air salju dan air dingin. Bersihkanlah dia dari kesalahannya sebagaimana dibersihkan kain putih dari kekotoran, dan gantikanlah kampunganya dengan kampung yang lebih baik dan ahli keluarganya yang baik, suami isteri yang lebih baik. Masukkanlah dia ke dalam syurga dan lindungilah dia dari seksa kubur dan fitnahnya dan dari seksa neraka.”


Takbir keempat berdoa untuk si mati lagi.
أَللَّهُمَّ لاَ تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلاَ تَفْتِنَّا بَعْدَهُ وَاغْفِرْلَنَا وَلَهُ وَلإِخْوَانِنَا الَّذِيْنَ سَبَقُوْنَا بِالإِيْمَانِ وَلاَ تَجْعَلْ فِى قُلُوْبِنَا غِلاَّ لِلَّذِيْنَ آمَنُوْا رَبَّنَا إِنَّكَ رَؤُوْفٌ رَحِيْمٌ

“Ya Allah, janganlah Engkau haramkan permohonan kami untuk kebajikannya dan janganlah Engkau membiarkan kami di timpa fitnah setelah ketiadaannya dan ampunkanlah kami dan dia juga rakan kami yang terdahulu beriman dan janganlah Engkau sematkan perasaan hasad dengki kedalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman. Tuhan kami, sesungguhnya Engkau bersifat pengasih dan penyanyang.”


Memberi salam ke kanan dan ke kiri.


اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ


Bacaan sesudah salam
12.    Surah Al-Ikhlas 3 kali.
13.    Surah Al-Falaq 1 kali.
14.    Surah An-Nas 1 kali.
15.    Surah Al-Fatihah 1 kali.
16.    Surah Al-Baqarah ayat 1-5.
17.    Ayat Kursi 1 kali.
18.    Doa yang sesuai.


•    Cara Mengapankan Jenazah


1.    Mayat diletakkan di atas kain yang sudah diap di susun.
2.    Letakkan kapas pada rongga-rongga pada badan mayat seperti telinga, tempat luka jika ada, anggota-anggota sujud seterusnya sampai ke kaki.
3.    Tangan diqiamkan atau diluruskan.
4.    Pakaikan kain, baju, telekong dan seterusnya 2 lapisan kain yang menutupi seluruh badan. (mulakan dari kiri ke kanan dan kanan ke kiri).
5.    Percikkan air mawar atau minyak atar di atas kapan.
6.    Akhirnya diikatkan dengan tali ikatan yang disediakan (hujung kepala, dada, pinggang, lutut dan hujung kaki).
Perbezaan Kapan Lelaki, Perempuan Dan Kanak-kanak
7.    Lelaki – 3 lapis.
8.    Perempuan – 5 lapis.
9.    Kanak-kanak – 3 lapis.
(makruh sekiranya kita menggunakan kain kafan yang mahal kerana ini adalah amalan yang membazir). Sabda Rasulullah saw :


“Jangan kamu permahalkan tentang kafan kamu, kerana sesungguhnya ia segera reput atau rosak”. (Riwayat Abu Daud)


Jenazah Di Dalam Ihram Haji Atau Umrah


Hendaklah dikafankan dengan pakaian ihram selepas dimandikan tidak boleh diletakkan minyak wangi atau wangian kepadanya.
10.    Bagi mayat lelaki – hendaklah dibuka kepalanya.
11.    Bagi mayat perempuan – hendaklah dibuka mukanya.


•    Perkara Yang Perlu Dilakukan Sebelum & Selepas Memandikan Jenazah


Pendahuluan


Mengurus jenazah orang Islam, merupakan fardhu kifayah, yakni apabila sudah dikerjakan oleh sebahagian dari orang Islam yang lain, maka yang lainnya tidak berdosa, akan tetapi apabila tidak seorang pun yang mengerjakan kewajipan tersebut, maka semua orang Islam dalam satu kampung atau kawasan tersebut akan berdosa.
Orang Yang Berhak Menguruskan Jenazah


Orang yang berhak dan lebih afdal untuk menguruskan jenazah ialah dari kalangan keluarganya atau warisnya yang terdekat misalnya ; anaknya sendiri kalau simati bapanya. Kalau warisnya tidak ada kemampuan atau pengalaman, bolehlah diminta Imam atau Bilal di kawasan tersebut untuk menguruskannya.
Perkara Yang Perlu Diuruskan Oleh Warisnya


Waris yang tertua hendaklah berpakat/berbincang berhubung dengan kematian. Di antara perkara yang perlu diuruskan oleh warisnya ialah :
1.    Urusan di Balai Polis bagi melaporkan kematian. Nota : Sekiranya jenazah itu meninggal di Hospital cukup dengan surat kebenaran atau pengesahan dari doktor.
2.    Membeli keperluan untuk urusan memandi dan mengkafankan mayat.
3.    Menentukan bilal untuk memandikan mayat.
4.    Urusan menggali kubur.
5.    Menentukan Imam untuk sembahyang mayat.
6.    Menguruskan kenderaan untuk jenazah.
7.    Ucapan takziah.
Syarat Mandi (ke atas mayat)
8.    Beragama Islam.
9.    Ada bersifat manusia.
10.    Ada tubuh manusia walaupun sebahagian daripadanya (ada mayat).
11.    Bukan mati syahid yang menegakkan kesucian Islam.
Syarat Ke atas Orang Hendak Memandikan Mayat
12.    Beragama Islam.
13.    Bukan musuh.
14.    Orang dewasa.
15.    Merdeka.
16.    Mempunyai kemahiran dan ilmu yang cukup.
17.    Sabar.
18.    Tabah dan berani.
19.    Beramanah.
Rasulullah saw bersabda :


“Barang siapa yang memandikan mayat dan ia menyembunyikan ke atas apa yang dilihatnya, diampunkan oleh Allah swt empat puluh kali”.


Peralatan Dan Persiapan Mandi
20.    Tempat mandi/bilik mandi/tabir.
21.    Kain basahan dan tuala mandi.
22.    Air sabun – 1 baldi.
23.    Air cendana dan air kapur barus – 1 ceret.
24.    Sarung tangan.
25.    Kain sugi – 5 & 6 helai.
26.    Kain sugi – 7 & 9 gulung.
27.    Air daun bidara – 1 baldi.
28.    Kemeyan/setanggi sekiranya diperlukan.
29.    Pencebok atau gayung secukupnya.
30.    Tanah untuk tayammum.
Cara Memandikan Jenazah


Pada asasnya, mandi mayat sama dengan mandi wajib yang lain. Iaitu mengandungi 2 rukun. Pertamanya niat mandi dan keduanya meratakan air keseluruhan badan termasuklah bulu-bulu rambut dan umbi rambut. Cara-caranya ialah :
31.    Mayat diletakkan di tempat yang di khaskan.
32.    Dimandikan dalam sehelai kain yang boleh menyerapkan air serta menutup aurat.“Sesungguhnya Nabi saw telah dimandikan di dalam gamisnya (baju labuh)”.Maksud hadis.
33.    Bersihkan najis-najis pada tubuh dan kemaluannya. Kemudian diurut serta menekan perutnya supaya mengeluarkan najis atau kotoran yang ada dan membersihkannya. Niat beristinjak : “Sahaja aku beristinjak ke atas mayat ini kerana Allah taala”.
34.    Wudukkan mayat sepertimana orang hidup. Niat wuduk : “Sahaja aku mengambil wuduk yang sunat bagi mayat ini kerana Allah taala”.
35.    Mulakan mandi dengan air bersih. Disertai niat memandikan jenazah (hukum niat adalah sunat) (mandi adalah wajib). Lafaz niat : “Sahaja aku mandikan ke atas jenazah ini kerana Allah taala”.
36.    Setiap anggota mulakan disebelah kanan dahulu, dari Ummu Athiyah mengatakan ketika kami memandikan puteri Rasulullah saw, Zainab. Rasulullah bersabda mafhumnya : “Mulakan dengan memandikan bahagian anggota-anggota yang kanan dan anggota wuduk”. (Riwayat Al-Bukhari).
37.    Setelah dimandikan dengan air sabun, air daun bidara dan air mutlak sebanyak 3 kali, sekiranya tidak cukup memuaskan, maka lebihkan mandian menjadi 5 atau 7 kali. Rasulullah saw bersabda : “Mandikanlah jenazah-jenazah itu secara ganjil tiga, lima, tujuh kali atau lebih jika kamu pandang perlu”.
38.    Akhirnya mandikan dengan air kapur barus dan air cendana.
Beberapa Peringatan
39.    Ketika membasuh di sebelah kanan. “Ampunkanlah dia wahai tuhan dan kepada Engkaulah tempat kembali”.
40.    Ketika membasuh di sebelah kiri. “Ampunkanlah dia wahai Tuhan yang Maha Pemurah dan kepada Engkau tempat kembali”.
41.    Ketika mencurah air kapur barus (diakhir mandi jenazah). “Ampunkanlah dia wahai Tuhan yang Maha Pemurah dan kepada Engkau tempat kembali”.
42.    Sunat orang yang telah selesai memandikan jenazah, mandi sunat dengan niat“Sahaja aku mandi sunat selepas memandikan mayat kerana Allah Taala”. Begitu juga dengan orang yang mengangkatkan jenazah, sunat berwuduk untuk dirinya.
43.    Doa untuk mengelakkan dari badi mayat. “Dengan nama Allah yang tidak memberikan kemudharatan oleh sesuatu di bumi dan di langit. Sesungguhnya Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”.
Permasalahan
44.    Mayat lelaki atau perempuan dalam keadaan janabah (Berhadas besar) tidak dituntut mandi lagi kerana mandi mayat sudah memadai.
45.    Jika di dapati keluar najis atau darah setelah sempurna dimandikan memadai dibersihkan sahaja darah atau najis tersebut. Jika berlarutan keluarnya diikat dan dibalut dengan kapas atau kain.
46.    Jika rambut, kulit atau lainnya yang tanggal dari anggota badannya, wajib diambil dan dibasuh kemudian kapankan bersama-sama jasadnya.
47.    Jika didapati mayat di dalam sungai atau lombong yang sudah berubah atau reput, maka boleh kita selamkan semula mayat itu dalam 1 atau 2 minit dengan niat memandikan mayat (kira-kira meratakan air di seluruh anggotanya, nescaya sahlah mandinya jika tidak ada najis di badannya.
48.    Keguguran mengikut Imam Syafie, bayi cukup bulan ialah berumur dalam kandungan 6 bulan lahzah. Manakala bayi yang tidak cukup bulan ialah berumur 6 bulan lahzah ke bawah.
49.    Keguguran bayi cukup bulan, wajib disempurnakan empat perkara sepertimana jenazah orang dewasa iaitu mandi, kafan, sembahyang dan kebumikan.
50.    Keguguran bayi yang tidak cukup bulan : Jika keguguran itu ada tanda-tanda hidup seperti bersuara atau bergerak wajib disempurnakan sepertimana jenazah orang-orang dewasa (mandi, kafan, sembahyang dan di kebumikan). Jika keguguran itu tidak ada tanda-tanda hidup wajib disempurnakan tiga perkara sahaja iaitu mandi kafan dan kebumikan dengan tidak perlu disembahyangkan. Jika keguguran itu seketol darah dan belum bersifat manusia, sunat dibungkuskandengan kain lalu ditanamkan sahaja.
51.    Mayat kanak-kanak yang lahir, mati sebelum dipotong urinya. Sebelum dimandikan hendaklah dipotong urinya terlebih dahulu, kerana uri itu bukan anggota kanak-kanak tersebut dan bukan dari anggota ibunya. Uri itu najis, jika tidak dipotong, tidak sah sembahyang keatas kanak-kanak tersebut. Potong uri tidak dinamakan menyiksa mayat. Haram dimandikan, disembahyangkan dan ditanam uri bersama kanak-kanak tersebut. Uri perlu dibungkus dan ditanam begitu sahaja.
52.    Mengkebumikan mayat wanita mengandung. Diakui oleh doktor perubatan atau bidan yang anak dalam kandungan itu telah mati, baru boleh dikebumikan. Haram membelah perut ibu untuk mengeluarkan mayat anaknya di dalam kandungan. Sekiranya disahkan oleh doktor perubatan atau bidan, anak dalam kandungan masih hidup hendaklah dibelahkan perut ibunya untuk menyelamatkan anaknya.
Tayammum Dari Aspek Keadaan Mayat


Tayammum ialah menggunakan debu tanah yang suci lagi kering sebagai ganti daripada mandi mayat dan anggota yang tidak dapat kena air.
53.    Mayat yang harus ditayammum : Kerana ketiadaan air, mayat harus ditayammum berdasarkan firman Allah swt yang bermaksud : “Jika kamu tidak mendapat air (untuk mandi atau berwuduk), maka hendaklah kamu bertayamum”. (An-Nisa : 43). Mayat yang terlalu uzur (mati terbakar) kalau dimandikan hancur dagingnya. Mayat lelaki atau perempuan yang meninggal tempat yang terpencil yang susah mendapatkan air mutlak. Rasulullah saw bersabda mafhumnya : “Jika seorang wanita meninggal di lingkungan lelaki hingga tidak ada wanita lain, atau lelaki di lingkungan wanita-wanita di mana tidak ada lelaki lain, maka hendaklah mayat tersebut ditayammumkan lalu dimakamkan kedua mereka itu sama halnya dengan yang tidak mendapatkan air”. Kanak-kanak lelaki yang belum berkhatan. Mayat yang reput atau hancur.
54.    Niat Tayammum “Sahaja aku tayammumkan ke atas jenazah ini kerana Allah taala”.
Jenazah Yang Tidak Perlu dimandikan Atau Ditayammumkan


Orang yang mati di medan pertempuran kerana menegakkan agama Allah dari musuh yang bukan Islam. Dari Jabir Bin Abdullah berkata mafhumnya :


“Sesungguhnya Nabi saw memerintah untuk menanamkan mereka yang terbunuh di medan perang Uhud dengan darah serta pakaian mereka dan tidak perlu dimandikan dan tidak perlu disembahyangkan”. (Riwayat Al-Bukhari)


Perkara Yang Haram Di Waktu Mandi
55.    Meniarapkan mayat.
56.    Menyentuh kemaluan dengan tidak berlapik.
57.    Melihat aurat antara pusat ke lutut dengan tidak ada sesuatu hajat.
58.    Menceritakan kepada orang lain apa yang dilihat sewaktu memandikan jenazah, seperti hitam mukanya, lebam, berubah baunya dan sebagainya.


•    Teknik Kafan Mayat


Keperluan Kafan
1.    Kain puteh - 24 ela.
2.    Kapas - 2/3 gulung.
3.    Air Mawar - 1 botol.
4.    Minyak atar - 1 botol.
5.    Cendana - 1 peket.
6.    Kapur barus - 1 peket.
7.    Gunting, jarum, talam besar, benang.
Cara menyediakan Kain Kafan
8.    Bagi mayat lelaki sunat 3 helai kain kafan yang dapat menutupi semuanya. Di riwayatkan oleh jamaah dari Aisyah berkata : “Nabi saw dikafankan dengan tiga helai kain puteh halus yang baru, tanpa kemeja dan serban”.
9.    Bagi mayat perempuan 5 lapis, 2 helai kain kafan panjang mayat, 1 helai kain, 1 helai baju dan telekong.
10.    Bagi mendapatkan ukuran, ukur panjang mayat dari kepala hingga kaki kemudian di lebihkan sepanjang lilitan lutut apabila dibengkokkan kaki, ini memadai panjang kain untuk mengikat di pangkal (hujung) kepala kaki.
11.    Disediakan 5 kali untuk mengikat jenazah, hujung kepala, bahagian dada, pinggang, lutut dan hujung kaki.
12.    Potong kapas secukupnya. Sewaktu memotong kain kafan sunat membaca doa.


Cara Mengatur Kain Kafan
13.    Bentangkan tikar atau apa sahaja.
14.    Bentang 2 kain pembalut yang siap dipotong dengan satu persatu.
15.    Bentang kain telekong, baju dan kain sarung.
16.    Letakkan kapas dan cawat dibahagian dubur dan qubulnya.
17.    Taburkan cendana, kapur barus dan minyak wangi setiap lapisan kain yang sudah dibentangkan di bawah sekali diaturkan 5 tali pengikat jenazah yang siap dipotong.


•    Cara Menghadapi Orang Sakit Yang Nazak


Pendahuluan


Kematian adalah sesuatu yang pasti dan kita harus bersedia menghadapinya kerana ia merupakan titik permulaan kepada penghidupan yang kekal abadi. Hanya mukmin yang dipanggil menghadap Tuhannya dengan hati bersih memperolehi kejayaan.


Menguruskan jenazah adalah merupakan perkara yang tidak boleh kita elakkan begitu sahaja. Ianya merupakan fardhu kifayah ke atas umat Islam. Dengan adanya sebahagian umat Islam yang mengetahuinya akan selesailah tanggungjawab itu.


Namun dalam keadaan sekarang ini, kesedaran di kalangan generasi muda untuk melaksanakan tanggungjawab ini amat tipis sekali. Ramai dari generasi muda yang tidak tahu cara-cara menguruskan jenazah dan hanya menyerahkan sepenuhnya kepada jenerasi yang lebih tua dari mereka untuk melaksanakannya. Bayangkanlah suatu hari nanti ayah atau ibu kita meninggal dunia. Tergamakkah kita membiarkan orang lain menguruskannya sedangkan diri kita hanya melihat tanpa sebarang ilmu.


Sejajar dengan itu maka terbitlah risalah kecil ini bagi memberikan sedikit bimbingan dan panduan. Seperkara yang perlu diingat di samping kita menguruskan jenazah, diharap ianya dapat menjadi pengajaran kepada kita yang masih hidup untuk bersiap sedia menuruti jejaknya suatu hari nanti. Dengan adanya panduan-panduan ini adalah diharapkan sedikit sebanyak dapat memberi pengetahuan kepada para pelawat jika berlaku sesuatu kematian agar dapat membantu menguruskannya. Marilah kita memahami kehendak fardhu kifayah ini, moga-moga ianya dapat menjadi penyambung kesempurnaan dalam pengamalan syariat agama kita.
Melawat Orang Yang Sakit


Hadis Rasulullah saw bersabda mafhumnya :
"Apabila kamu ziarahi orang sakit atau orang yang hampir mati, hendaklah kamu memperkatakan perkara yang baik, kerana sesungguhnya Malaikat mengucap Amin terhadap apa yang kamu katakan itu."
Hukum melawat orang sakit


Adalah fardhu kifayah melawat orang yang sakit menurut jumhur pendapat ulamak. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra mafhumnya :
“Ada lima Hak seorang Islam keatas orang Islam yang lain : menjawab salam, menziarahinya semasa sakit, melawat jenazah, menerima jemputannya, dan mendo’akannya apabila dia bersin”. (Hadith Riwayat Ahmad, Al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud)
Adab Menziarahi Pesakit
1.    Lawatan ke tempat orang sakit hendaklah tidak makan masa yang lama.
2.    Sunat duduk berhampiran dengan kepalanya.
3.    Berdoalah untuk pesakit agar dia sembuh. Di riwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Aisyah : Bahawa Rasulullah saw biasa memohon perlindungan bagi sebahagian keluarga baginda. Disapukan dengan tangan kanannya lalu berkata :“Ya Allah wahai tuhan bagi sekelian manusia, lenyapkanlah penderitaan dan sembuhkanlah, kerana engkau yang dapat menyembuhkan. Tidak ada penyembuh kecuali penyembuhmu. Yakni penyembuh yang tidak meninggalkan penyakit lagi”.
4.    Berilah kata-kata semangat kepada orang yang sakit dan gembirakan dia.
5.    Menziarahi di waktu-waktu yang sesuai serta mengelakkan daripada waktu-waktu senja, makan dan lewat malam.
6.    Sekiranya ia berhutang segera jelaskan hutangnya (mengingatinya).
Tanda-tanda Orang Yang Hampir Ajal
7.    Tunduk hidungnya (hidungnya jatuh).
8.    Pucat/hilang cahaya mukanya.
9.    Lurus kakinya (lurus tapak kakinya).
10.    Tumitnya lembut.
11.    Renggang pergelangan tangannya dan juga sendi-sendinya.
Adab Menziarahi Orang Yang Hampir ajal (sedang nazak)
12.    Menghalakan pesakit yang nazak ke arah kiblat.
13.    Talqin/peringatan kepadanya.
14.    Ajarkan dia mengucap kalimah لا اله الا الله tidak usah ditambah dengan kalimah محمد رسول الله .
15.    Bacalah Surah Yasin dengan nyaring dan Surah Ar-Ra’du dengan perlahan.
16.    Sunat menitiskan air ke dalam mulut sekiranya terdapat tanda-tanda pesakit dahaga.
Hikmah Menziarahi Orang Sakit


Sakit adalah datangnya dari Allah. Penyakit yang ditimpa ke atas kita sebenarnya mengandungi hikmah. Antaranya ialah :
17.    Memberi kesedaran dan keinsafan kepada kita bahawa kita ini lemah dan tidak mempunyai kuasa dan kekuatan untuk menyembuhkannya melainkan Allah.
18.    Allah ingin menguji sejauh mana kesabaran kita menghadapi dugaan Allah.
19.    Allah ingin mengampunkan dosa kita yang kita telah lakukan samada secara sedar ataupun tidak.
Kedatangan Sakaratul Maut


Rasulullah saw bersabda mafhumnya :
“Tidak akan keluar nyawa seseorang mukmin sebelum ia melihat tempatnya dalam syurga dan tidak keluar nyawa seseorang kafir sebelum dia melihat tempatnya di dalam neraka”.
Beredar Roh Pada Jasad
20.    Hujung kaki ke lutut.
21.    Lutut ke pusat.
22.    Pusat ke dada.
23.    Dada ke leher (halkum).
Keadaan Malaikat Maut Ketika Mencabut Nyawa


Keadaan Malaikat Maut terhadap orang yang sudah sampai masanya menemui Allah swt akan menemui 2 keadaan :
24.    Yang beriman (keadaannya dengan rupa yang mengembirakan).
25.    Yang tidak beriman (keadaannya dengan rupa yang menakutkan dengan keadaan demikian kesakitan orang yang hampir mati tidak dapat dirasai oleh orang lain melaikan kepada mereka yang merasainya sahaja.
26.    Beberapa ulamak berpendapat : “Bahawa mati itu terlebih sangat kesakitannya daripada seribu palu dengan pedang dan terlebih sakit daripada gergaji dengan beberapa gergajinya dan terlebih sakit daripada gunting dengan beberapa gunting”.
Perkara Sunat Selepas Kematian.
27.    Mengingati tempat kembali, berdoa dan bersabar.
28.    Sunat diucapkan : “Sesungguhnya dari Allah kita datang dan kepadanya kita akan dikembalikan”.
29.    Memberi ucapan takziyah (menyabar) menghibur orang yang ditimpa musibah dengan mengebut hal-hal yang dapat menghilangkan duka. Doa Takziyah : “Moga-moga Allah swt menagndakan pahalamu dan memberi takziyah yang baik kepadamu serta mengampunkan yang mati itu”.
30.    Apabila sudah hilang nyawa wajiblah dipejamkan matanya dan dirapatkan mulutnya jika terbuka, dengan cermat. Kemudian diikatkan dagunya untuk memelihara daripada dimasuki serangga. Doanya ialah : “Ya Allah Ya Tuhan kami ampunkanlah dia, Ya Allah Ya Tuhan kami rahmatilah dia”.
31.    Hendaklah diletakkan mayat di tempat yang sesuai. Sebaik-baiknya di atas katil dengan keadaan melentang mengarah ke qiblat.
32.    Salinkan pakaian yang dipakai dengan pakaian yang bersih supaya tidak terbuka auratnya.
33.    Letakkan sesuatu di atas perut untuk mengelak dari kembong perutnya.
34.    Harus bagi ahli keluarganya menciumnya (ijmak para sahabat).
35.    Ahli keluarga yang mampu segera tunaikan hutang si mati sekiranya ia menangguhkan hutang, sama ada dibayar dari harta peninggalan si mati atau atas pertolongan waris, kerana pada suatu ketika Rasulullah saw enggan menyembahyang ke atas jenazah yang mempunyai hutang sehingga dibayar hutangnya dan ditunaikan wasiatnya.
36.    Segerakan pengurusan jenazah tersebut. Dari Ali Bin Abi Talib, Sabda Rasulullah saw mahfumnya : “Wahai Ali tiga perkara yang tidak boleh engkau lambatkan, sembahyang apabila masuk waktunya, kebumikan jenazah apabila sudah sedia dan nikahkan anak dara apabila ada jodohnya”.
37.    Mengumumkan kematiannya, kepada sahabat handai dan golongan orang-orang yang soleh agar segera menguruskannya.
38.    Diharamkan ratapan, meraung, menjerit dan diharuskan menangis.
39.    Diharamkan berkabung melebihi tiga hari.
Sunat Menyediakan Makanan Bagi Keluarga Yang Meninggal


Perbuatan ini disunatkan, kerana ia merupakan kewajipan dan pendekatan diri kepada keluarga mayat dan tetangga. Berkata Imam Syafi’e : “Sebaiknya dibuat makanan buat keluarga mayat cukup untuk mengenyangkan mereka selama satu hari satu malam, kerana itu adalah sunat dan merupakan perbuatan orang yang berbudi”. Sabda Rasulullah saw :
“Buatkanlah makanan bagi keluarga Ja’afar, kerana mereka sedang ditimpa musibah yang memilukan”. (Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Turmizi)


Para Imam memandang makruh hukumnya jika keluarga mayat menyediakan makanan buat orang yang datang kerana hal ini menambahkan kemalangan mereka, serta meniru perbuatan orang-orang Jahiliah.


Adalah menjadi kewajipan ke atas ahli keluarganya yang terdekat (warisnya) untuk menguruskan jenazah. Seperti memandikan, mengkafankan, menyembahyangkan dan menguburkan jenazah mengikut peraturan-peraturan dan cara-cara yang telah ditetapkan oleh syarak.


•    Muamalat Bukan Sekadar Kewangan Islam


Kota Kinabalu Dis 19 - Sebut saja Muamalat umat Islam akan segera memikirkan sistem perbankan dan kewangan Islam. Itu saja.


Penyempitan istilah Muamalat ini harus dileraikan agar umat Islam di Malaysia mampu memahaminya secara telus dan haq agar tidak tersasar daripada maksud dan aplikasinya yang sebenar di dalam Islam.


Menurut Ustaz Muhammad Najib Abdullah pensyarah daripada Universiti Sains Islam Malaysia, segala harta yang ada di alam ini sama ada di muka bumi, di lautan atau di dasarnya adalah milik Allah SWT secara mutlak. Manusia hanya diberikan kebenaran untuk mencari dan memiliki harta yang disediakan oleh Allah SWT itu melalui ilmu pengetahuan dan kemahiran yang dianugerahkan kepadanya. Mereka yang memiliki harta kekayaan di dunia adalah sebagai pemegang amanat Allah SWT dan khalifah yang bertanggungjawab terhadap harta-harta tersebut.


“Malah semua urusan mentadbir anugerah Allah ini adalah digelar sebagai muamalat. Bukan hanya sekadar pengurusan perbankan sahaja seperti lazimnya difahami oleh umat Islam kita. Bermakna bukan hanya kita beradab dan menjaga tatasusila semasa urusan jual beli dan kewangan, malah semua urusan duniawi kita hendaklah berteraskan kepada rasa tanggungjawab kita sebagai hamba kepada Tuhannya. Barulah tiada penyalahgunaan kuasa, pencerobohan alam sekitar, rasuah, nepotisme dan sebagainya. Kerana setiap makhluk itu akan rasa takut azab Allah SWT,” kata beliau semasa membentang kertaskerja bertajuk Beberapa Prinsip Mualamat Islamiyah: Ke Arah Memperkasakannya sempena Seminar Usahawan & Profesional HALUAN di sini.


Beliau memetik ayat Quran daripada surah Al Mulk:15 yang bermaksud, “Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantau dan makanlah daripada rezeki yang dikurniakan oleh Allah s.w.t dan ingatlah kepada Allah s.w.t jualah (tempat kembali kamu) di bangkitkan (maka hargailah nikmatnya dan takutilah kemurkaannya)”.


Muamalat bererti semua hukum-hakam syariat yang bersangkutan dengan urusan dunia, dengan memandang kepada aktiviti hidup seseorang seperti jual-beli, tukar-menukar, pinjam-meminjam dan sebagainya. Manusia mempunyai dua perhubungan di dalam hidup ini, iaitu hubungan dengan Allah (hablun min Allah) yang merangkumi aspek ibadah, dan hubungan dengan manusia (hablun min al-nas) yang dinamakan aspek muamalat.


Oleh kerana itu, muamalat merupakan tatacara atau peraturan dalam perhubungan manusia sesama manusia untuk memenuhi keperluan masing-masing. Ia telah ditetapkan oleh Allah SWT yang mesti dipatuhi dan melibatkan bidang ekonomi dan juga sosial Islam.


Namun begitu, muamalat dengan nama yang digunakan pada hari ini ialah dalam bidang ekonomi, kewangan dan urusniaga yang menjadi tumpuan semua orang bagi memperoleh kesenangan hidup di dunia dan kebahagiaan di akhirat.


Katanya lagi, di antara tujuan muamalat adalah supaya di dalam kehidupan manusia tidak akan berlaku sesuatu kecurangan seperti rampas-merampas, ceroboh-menceroboh pada pemilikan serta tipu daya dan sebagainya. Ia bakal meletakkan manusia pada nilai dan taraf yang tinggi sehingga beroleh keredhaan Allah di dunia dan di akhirat.


Muamalat juga menentukan peraturan-peraturan berusaha dan bekerja untuk manusia dengan jalan yang halal tanpa menindas orang lain ataupun mementingkan hanya sebelah pihak sahaja.

How to calculate periferal usage power and cost

 How to calculate peripheral usage power and cost below is the link to calculate consume of power watt power and cost. So you can estimate c...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...